SJKT Bayan Lepas sedia kemudahan tablet hasil jualan beg guna semula

Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bayan Lepas, S Sangga (kiri) menyampaikan sumbangan tablet kepada anak muridnya, S.Naagena di sekolah itu pada Ahad.
Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bayan Lepas, S Sangga (kiri) menyampaikan sumbangan tablet kepada anak muridnya, S.Naagena di sekolah itu pada Ahad.
A
A
A

GEORGETOWN - Kesungguhan pihak Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bayan Lepas di Pulau Pinang yang mengambil inisiatif menjual beg boleh guna semula akhirnya membuahkan hasil apabila berjaya merealisasikan hasrat menyediakan tablet kepada murid yang memerlukan bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Besar SJKT Bayan Lepas, Sangga Sinnayah berkata, pihak sekolah berjaya membeli sejumlah 83 unit tablet menggunakan hasil jualan beg guna semula itu ditambah dengan sumbangan orang ramai yang kesemuanya berjumlah RM24,000.

“Pihak sekolah berjaya memperoleh RM24,000 dalam masa tujuh hari iaitu jumlah keseluruhan beg yang dijual adalah sebanyak 1,000 dengan harga RM10 setiap satu.

“Selebihnya adalah sumbangan daripada ibu bapa, orang awam dan NGO (badan bukan kerajaan) yang tidak putus-putus memberi sokongan kepada projek ini. Jadi ini adalah kejayaan bersama," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekolah itu pada Ahad.

Beliau berkata, penyediaan tablet kepada 83 murid sekolah itu yang kurang berkemampuan adalah bagi memudahkan sesi PdPR memandangkan kira-kira 80 peratus daripada 130 pelajarnya terdiri daripada kalangan keluarga B40.

"Untuk fasa pertama hari ini, seramai 40 murid diberikan tablet manakala selebihnya akan dilaksanakan hujung Februari ini bagi fasa kedua," katanya.

Sangga berkata, pihak sekolah akan meminjamkan tablet itu kepada murid terbabit selama setahun dan seterusnya memberi peluang yang sama kepada murid lain pada masa akan datang.

S Sasikala, 35, pula berkata, penyediaan tablet oleh pihak sekolah akan membolehkan anak perempuannya yang merupakan murid Tahun Tiga mengikuti sesi PdPR selepas keluarga beliau berdepan kekangan kewangan untuk membeli alat peranti itu.

Artikel Berkaitan:

"Di rumah tiada kemudahan WiFi... telefon pintar pun tak cukup (dan) tak mampu nak beli. Jadi saya amat berterima kasih kepada pihak sekolah kerana menyediakan kemudahan tablet sekali dengan kad sim, ia amat membantu," katanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang.

Bagi S Kavitakala, 39, bantuan itu menyaksikan anak perempuannya iaitu murid Tahun Satu tidak perlu lagi bergilir-gilir menggunakan telefon pintar mahupun komputer riba dengan dua abangnya yang masing-masing berumur 17 dan 12 tahun serta turut terlibat dalam sesi PdPR.

"Selalunya dia tak dapat ikut kelas PdPR sebab bagi peluang kepada abang-abangnya yang juga ada kelas dalam talian memandangkan mereka akan menghadapi peperiksaan.

“Dengan adanya tablet ini, anak bongsu saya tidak akan ketinggalan lagi malah akan lebih fokus kepada pelajarannya," katanya yang bekerja di sebuah kilang.

Pada 4 Februari lepas, Bernama melaporkan sekolah itu mengambil inisiatif melaksanakan projek kesedaran alam sekitar dengan menjual beg boleh guna semula yang diperbuat daripada kain kapas dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik dan menyalurkan keuntungannya bagi membeli tablet untuk kegunaan pembelajaran murid secara dalam talian. - Bernama