X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD: JKM agih bantuan makanan di tiga kampung

Bekalan makanan kering yang siap dibungkus disusun untuk diagihkan kepada penduduk di tiga buah kampung yang dikenakan PKPD di BEsut, Terengganu. Gambar kecil: ZUHAMI OMAR - (Foto: Ihsan JKM Daerah Besut)
A
A

BESUT - [DIKEMAS KINI] Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk di tiga kampung dalam Mukim Pasir Akar di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada Ahad.

Pengarah JKM Terengganu, Zuhami Omar berkata, agihan bantuan makanan asas itu membabitkan seramai 2,152 isi rumah daripada 467 buah keluarga di kampung terlibat iaitu Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor di sini.

Menurutnya, pihaknya akan mengagihkan bekalan makanan yang dijadualkan setiap tiga hari sekali dan akan diselang-selikan dengan agihan makanan basah serta kering tetapi kekerapan agihan mengikut situasi semasa.

"Hari ini (Ahad), kami akan membekalkan barangan kering dahulu seperti beras, sardin kerana kami difahamkan esok (Isnin) mereka akan menerima barangan basah yang disumbangkan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Kaedah agihan pula dilakukan bersama ahli jawatankuasa (AJK) yang dilantik terdiri daripada Jabatan Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK)di dalam kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, JKM mempunyai rekod senarai penerima semua bantuan yang diagihkan dan akan terus memantau senarai penerima berdasarkan aduan serta rujukan.

"JKM bertanggungjawab melaporkan rekod keseluruhan senarai penerima termasuk alamat mereka kepada agensi pusat.

"Bagaimanapun, sekiranya ada tambahan isi rumah, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memaklumkan kepada kami untuk selaraskan bantuan yang sewajarnya," katanya.

Pelaksanaan PKPD di tiga lokaliti itu yang bermula pada Ahad sehingga 27 Februari ini berdasarkan laporan KKM berhubung situasi jangkitan Covid-19 di tiga kampung berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!