Jangan ragu-ragu guna vaksin Covid-19: Mufti Kedah

Sheikh Fadzil (dua dari kiri) menyerahkan telefon pintar kepada masyarakat orang asli suku Kensi di Kampung Lubuk Legong, Baling pada Ahad.
Sheikh Fadzil (dua dari kiri) menyerahkan telefon pintar kepada masyarakat orang asli suku Kensi di Kampung Lubuk Legong, Baling pada Ahad.
A
A
A

BALING- - Rakyat Malaysia diminta tidak perlu ragu-ragu untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 yang akan diedarkan kepada orang awam terutama petugas barisan hadapan tidak lama lagi.

Mufti Kedah, Datuk Sheikh Fadzil Awang berkata, berdasarkan penjelasan yang diberikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mufti-mufti seluruh negara memutuskan bahawa penggunaan vaksin adalah harus dan tiada halangan.

Beliau berkata, konsep istihalah juga boleh diaplikaskan dalam fatwa seandainya terdapat unsur-unsur yang tidak dapat dikenal pasti halalnya dalam penghasilan vaksin berkenaan.

"Apabila wujudnya penggunaan bahan-bahan binatang yang kita tidak kenal pasti halalnya, tetapi apabila diproses ia melalui beberapa langkah yang disebut sebagai istihalah, maka dia sudah berubah daripada sifat asalnya.

"Oleh itu, berdasarkan kepada kaedah tersebut dari sudut pandangan agama, ia telah halal dan boleh digunakan," katanya ketika ditemui pemberita sempena penyerahan telefon pintar kepada masyarakat orang asli suku Kensiu di Kampung Lubuk Legong di sini pada Ahad.

Sheikh Fadzil berkata, beliau tidak menghalang sekiranya ada mana-mana pihak yang enggan menerima suntikan vaksin, bagaimanapun pihak terlibat dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita palsu mengenai vaksin terbabit.

"Kepada yang tidak setuju dengan suntikan vaksin ini terpulang kepada mereka, tetapi keputusan yang mengatakan bahawa penggunaan vaksin ini adalah harus telah dibuat di peringkat tertinggi melibatkan semua pihak termasuk mufti-mufti.

"Saya sendiri bersedia untuk disuntik dengan vaksin ini, cuma ketika ini kita memberi keutamaan kepada mereka yang memerlukan terutama petugas barisan hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan: