PRU15: Amanah sasar tanding tidak kurang 50 kerusi Parlimen

AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
AIMAN ATHIRAH AL JUNDI
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan untuk bertanding tidak kurang daripada 50 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Amanah, Aiman Athirah Al Jundi berkata, sasaran itu mengambil kira beberapa kriteria termasuk kerusi yang telah ditandingi parti itu pada PRU14.

Menurutnya, Amanah juga akan meletakkan calon di kerusi ditandingi Pas semasa PRU13 tetapi terpaksa dilepaskan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14.

“Kami juga akan bertanding di beberapa kerusi menang yang telah dikhianati oleh ahli-ahli Parlimen khianat lebih kurang setahun yang lepas,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata, komitmen tertinggi Amanah tetap kepada kerjasama padu melibatkan semua gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Menurutnya, Amanah juga akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang mendukung aspirasi perjuangan bersama iaitu membina semula negara untuk kesejahteraan setiap warganegara di seluruh negeri dan wilayah.

Katanya, perjuangan bersama tersebut termasuklah memerangi rasuah di semua peringkat khususnya yang telah berakar dalam pentadbiran awam itu sendiri.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia perlu diletakkan kembali ke landasan yang betul sama ada daripada aspek ekonomi mahupun sosial.

Artikel Berkaitan:

“Setiap rakyat berhak menerima perkhidmatan terbaik, bukan sebaliknya berterusan menjadi seolah-olah pengemis dalam negara merdeka yang mereka sendiri memilih pemerintah mewakili kepentingan mereka.

“Politik Malaysia perlu diberikan wajah dan nafas baharu yang memberikan tumpuan dan penekanan kepada politik nilai dan politik khidmat, menggantikan politik perkauman, fitnah, adu domba dan kebencian agama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar tumpuan mesti diberikan kepada politik khidmat setiap pemerintah dan ahli politik bagi membangun negara serta setiap konstituensi yang mereka wakili.

“Amanah dan PH berpegang teguh kepada semua prinsip itu. Usaha telah pun kita gerakkan sebelum ini dan ternyata rakyat bersama kita memberi harapan sehinggalah para pengkhianat menunjukkan wajah mereka,” katanya.