Gempa bumi Jepun: Lebih 100 cedera

Seorang kakitangan sebuah perpustakaan di bandar Iwaki menyusun semula buku yang berselerak susulan gempa bumi melanda timur laut Jepun. - Agensi
Seorang kakitangan sebuah perpustakaan di bandar Iwaki menyusun semula buku yang berselerak susulan gempa bumi melanda timur laut Jepun. - Agensi
A
A
A

TOKYO - Lebih 100 orang cedera manakala operasi kereta api pula terhenti di kebanyakan bahagian timur laut Jepun pada Ahad, selepas kawasan itu digegarkan dengan gempa bumi besar di daerah yang sama dengan gempa bumi Fukushima yang mencetus bencana tsunami sekitar 10 tahun lalu.

Gempa bumi dengan magnitud 7.3 itu berlaku tidak lama sebelum tengah malam Sabtu sehingga tembok bangunan retak manakala jendela pula pecah disusuli dengan tanah runtuh di Fukushima, kawasan terdekat dengan pusat gempa.

Ia turut menggegar bangunan di ibu kota Jepun, Tokyo dan beberapa tempat lain.

Gegaran yang berlaku pada jam 11.08 malam (waktu tempatan)itu turut menyebabkan sebilangan besar bangunan terputus bekalan elektrik tetapi bekalan pulih pada keesokan paginya.

Bagaimanapun, ribuan isi rumah masih mengalami masalah tiada bekalan air serta penduduk beratur dengan bekas plastik bagi mendapatkan air bersih di trak.

Sementara itu, stesen penyiaran NHK melaporkan, sekurang-kurangnya 104 penduduk cedera dengan beberapa mangsa pula mengalami keretakan tulang tetapi tiada kematian dilaporkan.

Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan tiada laporan menyatakan loji nuklear di Fukushima terjejas berbanding ketika gempa bumi kuat pada Mac 2011 yang mencetuskan tsunami besar serta mengorbankan lebih 18,000 nyawa.

Pada waktu itu, tsunami besar mencetuskan krisis nuklear paling teruk di dunia dalam tempoh 25 tahun.

Artikel Berkaitan:

Perkhidmatan kereta api laju Shinkansen yang beroperasi di bahagian utara Jepun juga digantung kerana kerosakan pada laluannya.

Jurucakap kerajaan, Katsunobu Kato turut memberi amaran kemungkinan akan berlaku gempa susulan yang kuat minggu depan, serta lebih banyak lagi kejadian tanah runtuh berikutan cuaca diramalkan hujan lebat. - Agensi