Gudang daging di Puchong ada kaitan dengan kartel daging di Senai

Keadaan sebuah gudang produk sejuk beku di Puchong, Selangor yang diserbu pada 5 Februari.
Keadaan sebuah gudang produk sejuk beku di Puchong, Selangor yang diserbu pada 5 Februari.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebuah gudang produk sejuk beku yang diserbu di Puchong, Selangor pada 5 Februari lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan gudang kartel daging di Senai, Johor.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati terdapat beberapa bukti yang mengaitkan kedua-dua gudang berkenaan.

Sumber itu turut menyebut gudang daging di Puchong itu mula beroperasi sejak tahun 2005 tetapi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) masih menyiasat sama ada bekalan didapati dalam tempoh itu.

"Maqis juga tidak menolak kemungkinan masih ada terdapat gudang produk sejuk beku lain yang terlibat," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Tambah sumber itu, serbuan di gudang Puchong turut merampas produk daging sejuk beku dan organ dalaman haiwan dianggarkan bernilai RM1.7 juta.

Katanya, kesemua rampasan dibawa keluar dari gudang berkenaan dan dihantar ke tempat simpanan Maqis di Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut.

Pada 2 Disember, Sinar Harian melaporkan sepasukan pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang daging sejuk beku di Senai dan merampas kira-kira 1,500 tan pelbagai jenis daging sejuk beku antaranya lembu, kerbau, itik, ayam selain organ dalaman seperti paru, perut serta ekor dianggarkan bernilai RM30 juta.

Kegiatan kartel berkenaan terbongkar menerusi serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Maqis bersama beberapa agensi lain.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, pada 5 Februari Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama agensi berkaitan telah menyerbu gudang produk sejuk beku di Puchong, Selangor.