X

Kindly register in order to view this article
!

Kilang pengasingan logam lepas sisa tercemar disita

Loy Sian (kiri) mendengar penerangan berhubung insiden pencemaran berpunca daripada operasi premis kilang pengasingan logam tersebut.
A
A

SEMENYIH - Sebuah premis kilang yang menjalankan aktiviti pengasingan logam secara haram disita selepas didapati melepaskan sisa tercemar ke longkang monsun di sekitar Taman Semenyih Permata.

Tindakan pihak terlibat telah menyebabkan air longkang itu bertukar warna kehitaman.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, siasatan awal mendapati premis seluas 1.2 hektar itu menjalankan operasi pengasingan logam dengan melakukan peleburan sisa besi dari kilang lain.

"Pihak berkuasa telah mengambil tindakan sita selepas mendapati pencemaran itu berpunca daripada sisa yang dilepaskan premis ini selain beroperasi secara haram," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau lokasi itu pada Ahad.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, buat masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan di premis yang hanya berada kira-kira 2.3 kilometer dari Sungai Semenyih.

Beliau berkata, tindakan pantas pihak berkuasa itu turut berjaya mengelakkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Jenderam Hilir yang terletak 22 kilometer dari lokasi premis terlibat.

"Pihak berkuasa kini sedang mengesan kilang lain yang terlibat dengan aktiviti pengasingan logam di sini.

"Tapak premis itu juga didapati telah beroperasi antara dua hingga tiga tahun dan terletak di lokasi yang agak terpencil bagi mengelakkan dikesan orang ramai.

"Operator dan tuan tanah telah dikenal pasti dan kita akan mengambil tindakan mengikut akta sedia ada," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Loy Sian berkata, sejak awal tahun lalu, sebanyak lapan insiden pencemaran yang berpotensi menyebabkan henti tugas LRA berjaya ditangani menerusi tindakan pantas oleh pihak berkuasa.

Tambahnya, kerjasama diberikan pelbagai agensi meliputi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat berjaya menangani insiden pencemaran daripada berulang.

"Hasil kerjasama semua pihak kita dapat mengatasi beberapa insiden pencemaran yang boleh menyebabkan gangguan air di Lembah Klang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!