Tiada halangan skuad boling kebangsaan jalani latihan

Reezal Merican
Reezal Merican
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan tiada halangan bagi atlet berprestasi tinggi dan elit di peringkat kebangsaan termasuk skuad tenpin boling negara menjalani latihan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada masa ini.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, skuad boling negara diberi pengecualian untuk menjalani latihan di bawah konsep gelembung sukan atau secara kuarantin walaupun pusat-pusat boling tidak dibenarkan beroperasi ketika ini.

“Bagi atlet elit di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN), tiada masalah untuk mereka meneruskan latihan. Untuk orang ramai, sudah tentu masih tidak dibenarkan kerana ia masih terkait dengan kecenderungan masyarakat bermain boling untuk hiburan atau riadah apatah lagi kebanyakan pusat boling berada dalam pusat beli-belah yang menjadi kunjungan orang ramai.

“Kita membuka sukan yang memberi impak kepada orang ramai serta kehidupan, dan memberi kesan langsung kepada kecergasan dan kesihatan. Sukan yang berkaitan dengan riadah boleh menyusul dalam fasa berikutnya,” katanya ketika di temui Bernama pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan latihan skuad boling kebangsaan kembali terjejas berikutan pusat boling, termasuk venue latihan yang berada dalam pusat membeli belah ditutup susulan pelaksanaan PKP 2.0 bermula 13 Januari lepas.

Sementara itu, Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan skuad boling negara membuat pilihan untuk keluar daripada kem latihan secara kuarantin ketika PKP 2.0 dilaksanakan bulan lepas.

“Pasukan boling minta keluar daripada kem dengan andaian bahawa PKP akan tamat dalam tempoh dua minggu, tetapi ia dilanjutkan. Kita akan tunggu sehingga 18 Februari untuk mengetahui sama ada PKP dilanjutkan atau tidak.

“Sekiranya PKP diteruskan, kita akan berbincang semula dengan MTBC (Kongres Tenpin Bowling Malaysia) dan akan memulakan latihan semula dalam gelembung sukan. Atlet wajib tinggal di penginapan MSN, dan kita akan sediakan kenderaan khas buat mereka untuk pergi dan balik ke pusat latihan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan PKP 2.0 di seluruh negara selama dua minggu bermula 5 hingga 18 Februari ini.

PKP 2.0 mula diwartakan pada 13 Januari lepas. - Bernama