Polis tahan lelaki bakar rumah kongsi, curi kereta

PDRM
PDRM
A
A
A

TAWAU – Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai mengalami kemurungan membakar rumah kongsi tempat beliau tinggal sebelum melarikan sebuah kereta milik majikannya dalam kejadian di sebuah kilang papan Batu 5 di sini pagi tadi.

Bagaimanapun, suspek berusia 33 tahun itu berjaya ditahan polis kira-kira dua jam selepas kejadian, di kawasan lampu isyarat Batu 3, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, mengikut laporan yang diterima, suspek yang bekerja kira-kira empat tahun di kilang tersebut, berkelakuan seperti kurang siuman sejak seminggu lalu.

"Suspek telah direhatkan majikannya disebabkan tanda-tanda kemurungan tersebut. Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan dan tidak menolak perkara itu berlaku disebabkan suspek mengalami sakit mental," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Fadil berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kebakaran itu pada 5.31 pagi tadi dan dimaklumkan satu kebakaran berlaku di rumah kongsi di Perkampungan Kongsi 8, Batu 5 Jalan Apas di sini.

Fadil berkata, usaha memadamkan kebakaran dilakukan pihak bomba serta pekerja syarikat sebelum majikan berumur 45 tahun tiba pada pukul 5.18 pagi, membantu kerja-kerja memadam api.

Bagaimanapun, menurutnya dalam kesibukan memadam kebakaran, suspek tiba-tiba masuk ke kenderaan milik majikannya dan melarikan kereta jenis Toyota Vigo pada pukul 7.20 pagi.

“Sebelum ditahan suspek turut melanggar sebuah kereta Proton Saga dipandu seorang wanita berumur 41 tahun di Jalan MRSM di sini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadil berkata, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman esok. - Bernama