Mufti WP setuju hukum pengambilan vaksin Covid-19 harus

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) bersetuju mengguna pakai resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) pada 3 Disember lepas yang mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan kerajaan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dalam kenyataan pada Ahad berkata, PMWP menyokong sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijangka bermula penghujung Februari ini.

"Dari aspek kepenggunaan pula, katanya hukum harus itu turut diputuskan selepas mengambil kira pendirian tegas kerajaan bahawa hanya vaksin yang telah dikenal pasti statusnya sebagai halal dan tayyiban sahaja yang akan digunakan sepanjang pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini," katanya.

Luqman berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada Khamis lepas yang diadakan rentetan timbulnya pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin itu.

Sehubungan itu, katanya, PMWP menyeru seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Wilayah Persekutuan agar menghormati fatwa yang telah diputuskan berhubung pengambilan vaksin Covid-19 di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Proses daftar vaksin juga sebahagian janji temu: Khairy

Luqman berkata, fatwa itu diputuskan setelah melalui pelbagai proses perbincangan bersama pihak-pihak yang berautoriti dalam bidang masing-masing.

"Tambahan pula, ia juga satu daripada usaha kerajaan dalam memastikan Malaysia berjaya mengharungi krisis Covid-19 ini dengan lebih efisien," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau mengajak umat Islam agar menjadikan fatwa itu sebagai rujukan utama khususnya bagi mendukung usaha pemimpin negara untuk memerangi pandemik ini dengan lebih berkesan. - Bernama