X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu serius sekat laman Sugarbook

Laporan Sinar Harian berkaitan laporan iklan aplikasi Sugarbook sebelum ini. Gambar kecil: Hanafi
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu bertindak serius bagi menyekat akses laman web dan aplikasi Sugarbook demi kepentingan agama, rakyat dan negara.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Hanafi Zulkapli berkata, tindakan menyekat laman web berkenaan adalah satu tuntutan agama kerana sebarang perlakuan yang mendekatkan seseorang dengan zina semestinya diharamkan.

Beliau berkata, perkara ini juga tidak sewajarnya dipandang remeh berikutan maruah manusia bukannya barangan untuk dijadikan dagangan jual beli.

"Pemuda Pas Selangor menyokong penuh desakan agar sebarang pautan laman web atau aplikasi Sugarbook ini disekat terus demi kebaikan semua pihak," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Hanafi turut menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar dapat mengambil langkah drastik untuk bersama-sama menangani isu ini dengan memastikan penerapan silibus berunsur agama dapat dilaksanakan buat penuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

ARTIKEL BERKAITAN: Cari 'sugar daddy' melalui 'Sugarbook'

Menurutnya, selain memberi fokus kepada kecemerlangan akademik, kawalan selia bagi pembentukan sahsiah juga amat penting untuk dibangunkan buat penuntut-penuntut IPT.

"Tindakan ini supaya masalah sosial melibatkan pelajar pengajian tinggi dapat dikekang sebaiknya," katanya.

Baru-baru ini, Malaysia dilaporkan menjadi negara ketiga paling tinggi di Asia merekodkan jumlah 'sugar daddy' iaitu seramai 42,500 orang selepas India (338,000) dan Indonesia (60,250).

Susulan itu, Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) turut mendesak agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menyekat laman web dan aplikasi Sugarbook demi menjaga nama baik negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!