Gempa bumi Jepun gegar ibu kota Tokyo

No Image Caption
A
A
A

TOKYO - Gempa bumi kuat dengan gegaran awal berukuran 7.3 magnitud melanda bahagian pantai timur Jepun pada lewat Sabtu, namun tiada kerosakan besar dilaporkan.

Menurut Agensi Meteorologi Jepun, pusat gempa bumi itu terletak 60 kilometer (km) dari pantai wilayah Fukushima.

Agensi itu bagaimanapun memaklumkan, tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Gempa bumi yang berlaku pada pukul 11.08 malam (waktu tempatan) itu turut menggegarkan bangunan di ibu kota Tokyo dan beberapa tempat lain.

Wakil kerajaan Katsunobu Kato memberitahu melalui taklimat yang disiarkan NHK, kira-kira 950,000 isi rumah terputus hubungan dan tiada kemalangan di dua loji nuklear, Fukushima Dai-ni dan Onagawa namun pihak berkuasa masih memeriksa di Fukushima Dai-ichi.

Dalam pada itu, NHK memberitahu tiada laporan mengenai kerosakan di loji nuklear lain di Tokaimura mahupun di wilayah Ibaraki.

Perkhidmatan kereta api di Jepun dilaporkan turut menghentikan operasi selepas gempa bumi berlaku.

Gempa bumi biasa berlaku di Jepun, salah satu kawasan yang paling aktif secara seismik di dunia dan menyumbang kira-kira 20 peratus gempa bumi berskala enam atau lebih besar. - Agensi

Artikel Berkaitan: