BUDI MARA bantu pelajar B40

Pelajar mengikuti aktiviti di bawah program BUDI Holistic Development Programme.
Pelajar mengikuti aktiviti di bawah program BUDI Holistic Development Programme.
A
A
A

BUDI MARA merupakan inisiatif keprihatinan MARA yang memfokuskan bantuan penuh persekolahan kepada pelajar kurang berkemampuan daripada keluarga B40. Program ini memberi peluang kesamarataan kepada pelajar untuk mendapatkan pendidikan terbaik di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Pelaksanaan program ini selari dengan dasar pengambilan pelajar iaitu sekurang-kurangnya 60 peratus dalam kalangan keluarga B40. Di samping itu, kriteria status sosioekonomi dan kecemerlangan pelajar diambil kira menerusi sistem merit.

Program ini telah bermula pada tahun 2005 yang dikenali dengan Program Bantuan Khas (PBK). Menerusi program PBK, MARA telah membelanjakan sebanyak RM10 juta yang memberi manfaat kepada seramai 6,000 orang pelajar bermula dari tahun 2005 sehingga 2015.

Penjenamaan PBK kepada BUDI MARA dilaksanakan pada tahun 2016. Program BUDI MARA diperkasakan melalui dua pendekatan iaitu penambahan bilangan pelajar BUDI MARA yang mencecah 2,000 orang pada tahun 2020 serta pelaksanaan program pembangunan pelajar BUDI selari dengan keperluan pelajar.

Pelajar BUDI MARA akan menerima bantuan berbentuk wang tunai berjumlah RM1,100 merangkumi yuran persekolahan, pembelian pakaian sekolah, pakaian harian, keperluan asrama, peralatan persekolahan, tambang perjalanan pulang cuti semester, yuran dobi, pakaian sukan, keperluan peribadi dan sebagainya.

Program BUDI MARA juga melibatkan komitmen penajaan daripada pelbagai pihak.
Program BUDI MARA juga melibatkan komitmen penajaan daripada pelbagai pihak.

Selain itu, pelajar di bawah program ini turut menerima wang saku sebanyak RM50 sebulan serta dikecualikan membayar yuran caruman seperti yang dikenakan kepada setiap pelajar di MRSM.

Pegawai MARA Negeri, Pegawai MARA Daerah dan warga pendidik MRSM berperanan mengadakan lawatan ke rumah pelajar yang kurang berkemampuan dengan menilai latar belakang keluarga, keadaan kediaman, menilai status ekonomi keluarga bagi mengenal pasti pelajar yang layak menerima BUDI MARA.

Artikel Berkaitan:

Program BUDI MARA ini juga telah melibatkan komitmen penajaan daripada pelbagai pihak yang menjadikan penajaan sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial badan korporat dan juga pengeluaran zakat syarikat.

Antara penaja yang terlibat pada tahun 2020 ialah MARA, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, Yayasan Pelajaran MARA (YPM), Pusat Zakat Selangor, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Takaful Ikhlas dan UMW Holdings.

Penajaan pada tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM4.3 juta yang akan memberi manfaat kepada 3,077 orang pelajar. Penglibatan penaja telah memberi ruang kepada lebih ramai pelajar B40 untuk menerima bantuan dan seterusnya membantu mereka mendapat peluang pendidikan yang terbaik di MRSM.

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, bagi memastikan tidak ada keciciran dalam proses pengambilan pelajar ke MRSM daripada kumpulan B40 sehingga akar umbi, MARA sejak dahulu lagi sentiasa membantu proses permohonan dan pengambilan pelajar terutamanya bagi pelajar luar bandar dan yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Selain itu, MARA sentiasa membantu dan memberi peluang terutamanya kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk melanjutkan pengajian ke universiti di dalam dan di luar negara.

"Bantuan pembelajaran yang disediakan MARA bermula daripada pendidikan menengah di MRSM sehingga peringkat tertinggi dan profesional di Institusi Pendidikan MARA (IPMA),” katanya.

Azizah
Azizah

Melalui program BUDI, katanya, para pelajar yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah berpeluang untuk menerima bantuan tajaan daripada MARA dan juga pihak luar termasuklah badan korporat.

Sehubungan itu, Pengerusi MARA turut mempelawa syarikat-syarikat korporat lain untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan dan memperkasakan pendidikan pelajar yang kurang berkemampuan ini.

“Semakin besar sumbangan yang diterima, maka semakin ramai anak daripada kumpulan B40 dapat dibantu sepanjang pembelajaran mereka di MRSM,” katanya lagi.

MARA sentiasa prihatin untuk memastikan hasrat kerajaan dalam membantu dan memberi akses pendidikan terbaik kepada anak B40 dapat dilaksanakan.

Keprihatinan seluruh masyarakat sememangnya amat dihargai dan usaha harus digembleng bagi menjayakan aspirasi nasional ini.