10 tahun hidup bertemankan cahaya lilin, pelita

Keluarga Rozila hanya menggunakan elektrik pada waktu malam untuk menjimatkan kos yang perlu dibayar kepada sepupunya.
Keluarga Rozila hanya menggunakan elektrik pada waktu malam untuk menjimatkan kos yang perlu dibayar kepada sepupunya.
A
A
A

MACHANG - Tujuh beranak di Kampung Pangkal Ketereh di sini hanya bertemankan cahaya lilin dan pelita setiap malam sejak 10 tahun lalu.

Rozila Mohd Arifin, 34, berkata, sebelum ini rumahnya mempunyai bekalan elektrik, namun semuanya berubah selepas dia sekeluarga tidak mampu membayar bil sehingga tertunggak.

Menurutnya, sejak lima tahun kebelakangan ini, dia sekeluarga menumpang bekalan elektrik di rumah sepupu bagi memudahkan tiga anaknya belajar terutama pada waktu malam.

"Kami perlu menjelaskan RM2,300 bagi membolehkan bekalan elektrik disambung semula tetapi tidak mampu kerana suami (Mohd Asrul Husin, 43) hanya bekerja sebagai buruh dengan upah RM200 seminggu.

"Kini saya tumpang elektrik rumah sepupu. Kalau ada duit lebih kami bayar RM50 sebulan, kalau tak ada duit kami tak bayar. Bersyukurlah sebab sepupu kami baik dan faham keadaan kami," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Keluarga Rozila menerima kunjungan wakil Chempaka Merah Asnaf di rumahnya di Kampung Pangkal Ketereh.
Keluarga Rozila menerima kunjungan wakil Chempaka Merah Asnaf di rumahnya di Kampung Pangkal Ketereh.

Rozila berkata, demi berjimat cermat keluarganya hanya menggunakan elektrik pada waktu malam.

Katanya, selain pendapatan suami, keluarganya juga bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300 yang diterima kerana anaknya menghidap penyakit kulit yang mana sebelum ini perlu diwadkan seminggu sekali.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, wakil Chempaka Merah Asnaf, Che Norhayati Mohamed ketika mengunjungi keluarga berkenaan turut menyampaikan sumbangan makanan dan berusaha untuk menjelaskan tunggakan bil elektrik.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam 3072010137874 Pertubuhan Amal Kebajikan Cempaka Merah.