X

Kindly register in order to view this article
!

Prof Emeritus ibarat hiasan dinding

Maksud sebenar seorang Profesor Emeritus itu sama seperti maksud sebuah potret yang tersangkut di dinding. - Foto 123RF
A
A

KETIKA beberapa orang pemimpin Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) berkunjung ke rumah saya pada suatu petang dalam tahun 2011, saya dan isteri menyambut mereka dengan gembira. Almaklum sudah agak lama kami berpisah.

Saya sudah beberapa tahun berpindah ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pada waktu itu sedang menjawat jawatan Dekan di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) sementara isteri saya, Paizah juga telah berpindah ke universiti yang sama menjadi pensyarah di Ahmad Ibrahim Kulliyah of Laws (AIKOL).

Semasa di UM sebelum itu, kami bertugas di jabatan yang sama iaitu Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam.

Yang lebih menggembirakan kami ialah kerana semua yang bertandang menziarahi kami itu adalah bekas pelajar kami semasa di UM dulu. Zulkifli yang pada masa kunjungan itu menjadi pengarah di akademi tersebut dan Naimah, isterinya sudah menjadi Datuk dan Datin.

Dari segi akademik, Zulkifli sudah berpangkat Profesor sementara Naimah pula Profesor Madya Kanan. Begitu juga Raihanah dan Abd Karim. Mereka juga sudah menjadi Profesor Madya.

Pada waktu lawatan itu, Abd Karim yang selalu saya panggil Karim menjadi Ketua Jabatan Fiqh dan Usul tempat kami bertugas dahulu. Sebelum itu, Raihanah yang menjadi ketua jabatan. Malah sebelum itu lagi Naimah. Maksudnya mereka pada waktu lawatan itu merupakan orang besar universiti.

Sesudah berbagai cerita dan gelak ketawa yang menambahkan kegembiraan pada awal petang itu, senyum Karim semakin ketara. Saya macam biasa, sambil bergurau berkata kepada mereka; “Yang Karim ni tersengih-sengih sejak mula sampai tadi lagi hingga sekarang ada apa? Nak cerita tentang naik pangkat atau dapat anak barukah?”

Suasana gembira pada petang itu dan jenaka ringan saya terhadap Karim rupa-rupanya telah memecahkan kebuntuan mereka terutama Karim pada petang itu. Mereka tahu bukan dalam semua suasana saya boleh diajak berunding atau diberitahu tentang apa-apa yang penting.

Karim selalu bergurau dengan saya, katanya; “Ustaz ni kalau tak kena pada masanya benda mudah jadi payah. Kalau kena pada masa dan tempatnya benda susah jadi mudah.”

Rupa-rupanya Karim telah ditugaskan oleh abang dan kakak-kakaknya untuk memberitahu saya bahawa Senat UM telah meluluskan pelantikan saya sebagai Profesor Emeritus bagi universiti tersebut. Penganugerahannya akan disampaikan bersempena dengan konvokesyen yang akan diadakan tidak lama lagi selepas itu.

Apabila kemudiannya saya bertanya mereka, “Mengapa hal yang seremeh itu menjadi berat untuk memberitahu saya?” Semua mereka menjawab; “Takut saya tolak” dan mereka akan berhadapan dengan masalah.

Dalam masa yang begitu lama bergaul antara saya dengan mereka, semua mereka maklum tentang penolakan saya terhadap berbagai tawaran yang saya terima.

Malah yang peliknya, kata sesetengah bekas pelajar saya di situ, di samping menolak macam-macam tawaran dari kerajaan atau sebagainya macam mana pula ustaz boleh menerima tawaran menjadi Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang dasar perjuangannya banyak yang bercanggah dengan Islam?

Saya hanya tersengih sahaja mendengar persoalan itu.

Lantikan

Pada hari penganugerahan, saya dapat ucapan tahniah daripada ramai orang termasuk daripada mereka yang menerima anugerah berkenaan sebelum saya.

Sambil mengucapkan tahniah, Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Sofiah Karim, seorang daripada Profesor Emeritus paling kanan di universiti itu berkata, “Saya dah lama tak hadir majlis konvo seperti ini. Pada hari ini saya hadir kerana Datuk terutama sekali.”

Sesuai dengan pelantikan atau anugerah itu, saya diberi balik bilik profesor saya yang dahulu sesudah diperluaskan menjadi separuh kali ganda ukuran asal dan dipertingkatkan mutu dan kelengkapannya.

Bagaimanapun, saya jarang pergi ke situ kerana masih bertugas sepenuh masa di UIA. Apabila kontrak saya tamat di UIA pada penghujung tahun 2016, saya menjadikan kehadiran saya ke situ sebagai rutin. Malah ia benar-benar telah menjadi pejabat saya sepertimana saya bertugas sepenuh masa di situ sebelum itu.

Pada hari-hari terawal berada di situ, saya meminta daripada pengarah akademi agar membekalkan saya terma rujukan sebagai seorang Profesor Emeritus di situ.

Sepucuk surat yang diperolehnya daripada Canselori menyatakan antara tugas saya ialah memberi nasihat dan bimbingan kepada kakitangan kanan di akademi berkenaan.

Selain daripada itu saya boleh diminta melakukan apa-apa tugas akademik yang sesuai seperti mengajar misalnya tertakluk kepada kesediaan saya untuk melakukannya dan bayaran elaun dalam kadar tertentu.

Kerana saya sibuk dengan kerja di luar, saya tidak bersemangat lagi untuk mengajar. Kerana mengajar tidak bermaksud membimbing kakitangan kanan. Saya lebih mengharapkan untuk dilantik sebagai ahli majlis akademi misalnya untuk sama-sama terlibat dalam merancang masa depan akademi tersebut.

Begitu juga untuk mengepalai pasukan perancang pembaharuan program akademik. Atau hal-hal yang seumpamanya. Tetapi saya dapat membuat kesimpulan sendiri pentadbir yang bertugas tidak menganggap saya diperlukan untuk berada di posisi seperti itu.

Mereka sangat percaya saya mampu membantu mereka dalam tugas seperti itu. Tetapi semacam tidak tahu bagaimana merangka dasar dan membentuk mekanisme untuk membolehkan saya berada di situ.

Inisiatif sendiri

Dalam satu keadaan yang agak kritikal berkait dengan perancangan akademik bagi akademi berkenaan saya pernah melakukan inisiatif sendiri.

Sebagai reaksi kepada inisiatif tersebut ramai daripada mereka menyatakan universiti tidak ada peruntukan untuk membayar elaun saya bagi melaksanakan kerja seperti itu.

Apabila saya katakan saya tidak perlukan apa-apa bayaran, mereka tetap menimbulkan masalah bajet dan bayaran elaun kerja saya. Malah, mengikut mereka lagi universiti tidak pernah ada peruntukan bajet untuk kerja-kerja seperti itu untuk orang seperti saya.

Pernah saya pergi berjumpa pemimpin atasan universiti menyatakan kebimbangan tentang masa depan akademi tersebut dari segi perkembangan akademik. Malah menawarkan khidmat sukarela saya untuk menyambung khidmat kepada akademi yang pernah saya pimpin dalam tempoh paling lama berbanding orang lain.

Meskipun beliau mampu faham hasrat saya itu tetapi dia tidak mampu berbuat apa-apa. Kemudiannya beliau sekadar berkata nanti beliau akan bincang dengan pengarah akademi berkenaan.

Apabila saya berpakat dengan pensyarah kanan yang menerima geran bagi pihak diri saya itu untuk merangka program pengajian baru bagi akademi berkenaan memandangkan keperluan yang amat sangat, tidak ramai pensyarah muda yang bersedia dibimbing untuk melakukan kerja-kerja berkenaan.

Alasannya kerana sibuk dengan KPI dan kerana saya tidak ada kuasa untuk mengarah. Akhir sekali saya batalkan saja program tersebut dan memilih untuk menonton daripada jauh segala perkembangan yang berlaku.

Bukan kerana saya tidak ada hubungan baik dengan pentadbir cuma kerana universiti tidak mempunyai dasar yang jelas tentang kedudukan Profesor Emeritus mereka. Apalagi mekanisme yang sesuai untuk mendapat faedah daripada mereka yang berpengalaman itu.

Pernah saya bertanya seorang kawan rapat saya yang menjadi Profesor Emeritus di fakultinya; “Apa beliau buat?”

Katanya, seperti saya, beliau diberi biliknya yang sedia ada dan sentiasa datang ke pejabat. Bila saya tanya ada apa-apa tugas kepimpinan yang diberikan oleh pihak fakulti atau universiti kepadanya? Jawab beliau, tiada apa-apa.

“Lalu mengapa sentiasa datang ke universiti?” tanya saya. Beliau menjawab melakukan apa-apa kerja sendiri.

Beberapa hari kemudian beliau menghadiahkan kepada saya sebuah buku sederhana kecil yang merupakan autobiografi yang beliau tulis. Sambil mengucapkan terima kasih, saya berjenaka, “Kalau untuk menulis buku seperti ini tak ada pejabat di universiti pun boleh buat.” Kami lalu sama-sama ketawa.

Kemudian giliran beliau pula bertanya, apa saya buat di pejabat saya yang cantik itu berbanding dengan pejabat beliau? Saya menjawab; “Merancang kerja luar dan menerima tetamu dari luar bagi urusan luar.” Kami ketawa lagi.

Saya lalu lebih faham. Maksud sebenar seorang Profesor Emeritus itu sama seperti maksud sebuah potret yang tersangkut di dinding.

Padanlah dengan kata-kata Tokoh Pendidikan Tinggi, Tun Arshad Ayub bahawa beribu-ribu profesor di negara kita ini tidak berguna. Cuma saya rasa kenyataan beliau itu tersilap lapor.

Pada pandangan saya, mungkin yang beliau maksudkan ialah profesor emeritus. Kerana sebagai seorang yang begitu lama berkecimpung di bidang pentadbiran universiti, mustahil beliau tidak maklum ramai daripada kalangan profesor kita yang berkedudukan tinggi termasuk di peringkat antarabangsa.

Berasaskan kepada semua yang saya tulis, apabila orang bertanya saya apa maksud Profesor Emeritus, saya selalu menjawab ‘Profesor Tua’.

Bagi mereka mungkin saya berjenaka. Tetapi bagi saya itulah hakikat yang sebenar. Apabila orang bertanya di mana Profesor bekerja sekarang? Saya jawab, saya masih ada bilik di Akademi Pengajian Islam UM.

Ramai orang kelihatan tidak begitu faham jawapan saya itu. Tetapi saya pun tahu tidak semua perkara didunia ini boleh difahami oleh semua orang.

* Datuk Paduka Dr Mahmood Zuhdi Ab Majid ialah Profesor Emeritus di Universiti Malaya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!