X

Kindly register in order to view this article
!

Bolehkah janji tentera Myanmar dipercayai?

Nasib pelarian Rohingya masih tidak diketahui sama ada mereka akan menjalani kehidupan yang selamat apabila tiba di Mynmar yang kini ditadbir oleh pihak tentera.
A
A

NASIB penduduk dan pelarian Muslim Rohingya di Bangladesh yang berjumlah kira-kira 750,000 orang kini menjadi persoalan selepas pihak tentera melancarkan rampasan kuasa di Myanmar pada 1 Februari lalu.

Ini kerana, pihak tentera yang sebelum ini dituduh melakukan penghapusan kaum terhadap etnik minoriti Myanmar kembali berkuasa di negara tersebut.

Berikutan rampasan kuasa itu, pemimpin parti Liga Kebangsaan Demokrasi (NLD), Aung San Suu Kyi, 75, Presiden Myanmar, Win Myint, 69, dan beberapa lagi tokoh kanan parti itu ditahan selepas ia mencatatkan kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun lalu.

Pihak tentera kemudian melantik bekas general, Myint Swe, 69, sebagai Pemangku Presiden dan berkata, ia akan mengadakan satu pilihan raya yang bebas dan adil selepas melaksanakan pemerintahan darurat selama setahun.

Ketua Tentera Myanmar yang baharu dan mengetuai rampasan kuasa, Jeneral Min Aung Hlaing, 64, berucap di televisyen pada 9 Februari lalu menyatakan bahawa rampasan kuasa itu perlu dilakukan disebabkan berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum itu.

Menurut portal berita Frontline, kembalinya pemerintahan tentera akan mencetuskan ancaman kepada penduduk Muslim Rohingya yang juga dianggap sebagai imigran haram melalui pelaksanaan satu undang-undang pada tahun 1982 yang menggugurkan kewarganegaraan mereka.

Pemangku Presiden Myanmar, Myint Swe.
Pemangku Presiden Myanmar, Myint Swe.

Dalam tempoh beberapa dekad lalu, pihak tentera negara itu dituduh melanggar hak asasi manusia dan membenarkan keganasan berleluasa sehingga mengakibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) mendakwa berlaku pembersihan etnik di Myanmar.

Kini janji pihak tentera yang pernah memerintah selama 49 tahun yang kali terakhir mentadbir negara itu pada tahun 2011 menjadi persoalan kerana menurut portal berita The Nation, penduduk Rohingya tidak mempercayai kerajaan di negara mereka.

Sebelum ini, Suu Kyi mempertahankan tindakan ketenteraan dilakukan ke atas etnik tersebut menyebabkan terdapat desakan supaya beliau dilucutkan daripada Anugerah Nobel Keamanan yang diterimanya pada tahun 1990.

Beliau dilaporkan mempertahankan pihak tentera di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di Belanda pada tahun 2019 selepas Gambia menuduh Myanmar melakukan genosid.

Dua lagi kes turut difailkan ke atas Myanmar termasuk satu siasatan yang dilakukan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Pada tahun 2017, lebih 700,000 penduduk Rohingnya terutamanya dari negeri Rakhine melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh ketika kempen bagi memerangi kebangkitan pemberontak etnik tersebut yang dilancarkan oleh tentera Myanmar yang lebih dikenali sebagai Tatmadaw.

Menurut portal berita NPR, Pengarah Eksekutif Persatuan Golongan Muda Rohingya, Ro Khin Maung berkata di Cox’s Bazar, Bangladesh, seperti dilaporkan pada 11 Februari lalu mendakwa pihak tentera merancang mahu membunuh etnik tersebut.

Bangladesh ketika ini menjadi tempat perlindungan kepada kira-kira sejuta pelarian Rohingya di yang melarikan diri daripada kekejaman, kejadian rogol dan penindasan di negara mereka.

Proses penghantaran pulang pelarian Rohingya sudah bermula tetapi terhenti beberapa kali, tetapi berikutan rampasan kuasa, portal berita NPR melaporkan Ketua Tentera Myanmar itu berikrar akan meneruskan penghantaran tersebut dan berjanji untuk melindungi pelarian Rohingya.

Sebelum ini, sebahagian etnik tersebut yang tinggal di sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh berasa gembira Suu Kyi yang memegang jawatan Penasihat Negara iaitu jawatan sama taraf dengan Perdana Menteri ditahan oleh pihak tentera dalam satu rampasan kuasa secara aman.

Aung San Suu Kyi turut ditahan oleh pihak tentera.
Aung San Suu Kyi turut ditahan oleh pihak tentera.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan dengan nada marah kerana wanita tersebut dianggap punca yang menyebabkan penderitaan dalam kehidupan mereka dengan seorang ketua pelarian mendakwa beliau menyokong pembunuhan etnik tersebut.

Bangladesh kini sedang memindahkan sebahagian pelarian Rohingya ke sebuah Pulau Bhashan Char di Teluk Benggal yang dikenali oleh aktivis kemanusiaan sebagai Alcatraz Rohingya.

Alcatraz pula ialah sebuah penjara yang kini tidak digunakan lagi terletak di Teluk San Francisco, Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, seperti kata pengasas bersama kumpulan pembela hak asasi manusia, Fortify Rights iaitu Matthew Smith, sukar untuk dinyatakan sama ada pelarian Rohingya akan selamat pulang ke tanah air mereka.

Risiko untuk pelarian Rohingya pulang adalah tinggi kerana rejim tentera yang memerintah Myanmar ketika ini bertanggungjawab terhadap kekejaman ke atas mereka sejak bertahun-tahun lamanya. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!