X

Kindly register in order to view this article
!

Hamidin pilihan tepat

Hamidin Mohd Amin
A
A

MUNGKIN tidak keterlaluan jika dikatakan Datuk Hamidin Mohd Amin berjaya menggalas tugas dengan baik sejak beliau menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 14 Julai 2018.

Malah, tidak sampai tiga tahun menduduki kerusi nombor satu FAM, Hamidin dilihat sudah berjaya membawa nafas baharu dalam arena bola sepak Malaysia.

Maka, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) - salah satu daripada 20 ahli gabungan FAM menyatakan sokongan penuh kepada kepemimpinan Hamidin untuk kekal menggalas tanggungjawabnya.

Bagi Presiden PJBM, B Sathianathan, beliau secara peribadi berpendapat bahawa Hamidin adalah individu terbaik menerajui FAM dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Beliau (Hamidin) merupakan seorang presiden yang lahir daripada akar umbi bola sepak. Sebut saja peringkat mana beliau pernah bekerja dalam bola sepak, pastinya beliau ada pengalaman.

“Beliau lebih memahami denyut nadi bola sepak negara. Beliau kerap berbincang dengan kami (ahli gabungan FAM) dalam mencari jalan untuk menyelesaikan setiap masalah berbangkit.

“Secara peribadi saya boleh katakan beliau seorang yang individu mudah untuk bertemu, berbincang, lebih banyak mendengar dan menyelesaikan masalah,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Hamidin dilaporkan menang tanpa bertanding selepas Jawatankuasa Pemilihan FAM yang dipengerusikan Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said menutup proses pencalonan pada jam 5.30 petang Khamis lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Gandingan duo pilihan

Proses pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021 hingga 2025 akan diadakan pada Kongres FAM ke-57 yang dijadual berlangsung pada 13 Mac depan.

Sebanyak 17 kerusi bakal menjadi rebutan bagi pemilihan kali ini melibatkan satu kerusi presiden, timbalan presiden (dua), naib presiden (empat) serta 10 kerusi exco (termasuk dua kerusi yang diperuntukkan khas buat wanita).

Mengulas lanjut, Sathianathan berkata, misi dan visi yang dibawa Hamidin sebelum ini harus diteruskan bagi memacu DNA bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Beliau (Hamidin) telah membawa banyak kemajuan kepada bola sepak negara terutama kepada pasukan kebangsaan. Dalam situasi pandemik Covid-19, saya fikir beliau mampu membantu bola sepak negara mengharungi cabaran.

“Dalam keadaan semasa juga, ini bukan masa sesuai untuk melantik orang baharu mengemudi FAM. Biarlah orang yang sudah sedia ada dan mengetahui selok belok FAM untuk terus kekal,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut mahu melihat individu yang dipilih mengisi jawatan barisan exco FAM nanti terdiri daripada mereka yang berkaliber dalam sukan bola sepak.

“Kita mahukan mereka ini boleh menyumbangkan idea, bersedia untuk mengkritik secara berilmu dan tidak sekadar menjadi ‘pak turut’ mengiyakan apa sahaja kata ketua.

“Ini perkara penting yang harus diambil berat. Apa pun saya yakin beliau (Hamidin) sentiasa dahagakan idea-idea segar daripada exco yang dipilih bagi memastikan FAM berfungsi dengan sepatutnya,” jelasnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!