Jabatan Peguam Negara batal pertuduhan Siti Kasim

Siti Kasim
Siti Kasim
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara membatalkan arahan pertuduhan ke atas Siti Kasim berhubung kes menunjukkan jari tengah kepada hadirin ketika wacana tentang Rang Undang-Undang 355 di Kompleks Karangkraf pada tahun 2016.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, setelah meneliti semula segala fakta dan keterangan, pihak Jabatan Peguam Negara memutuskan arahan pertuduhan yang dikeluarkan pada 18 April tahun lalu dibatalkan.

"Pada 10 Februari 2019 (semalam) kertas siasatan tersebut telah dipanggil semula oleh Jabatan Peguam Negara, Putrajaya," katanya ringkas kepada media.

Sebelum ini tarikh pendakwaan ke mahkamah telah ditetapkan pada hari ini namun atas beberapa faktor terpaksa ditunda.

Pada April tahun lalu, polis menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa Siti berkenaan kes itu.

Bagaimanapun polis terpaksa menangguhkan perkara itu kerana memberi tumpuan kepada persediaan PRU14.

Dalam insiden pada September tiga tahun lalu Siti berang kerana diganggu hadirin ketika bertanya soalan semasa wacana anjuran Sinar Harian dan peguam itu membalas ejekan orang ramai terhadapnya dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah sejurus selepas menamatkan soalannya.

Sebelum itu Siti berdiri untuk bertanya kepada panel dengan mempersoalkan mengapa orang Islam di negara ini dipaksa mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara.

Artikel Berkaitan: