Malang Liverpool berterusan

Maddison (kiri) meraikan jaringannya bersama Barnes di Stadium King Power sebentar tadi.
Maddison (kiri) meraikan jaringannya bersama Barnes di Stadium King Power sebentar tadi.
A
A
A

LIVERPOOL terus ditimpa malang apabila tewas 1-3 kepada Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power sebentar tadi.

Ia merupakan kekalahan ketiga berturut-turut dialami Liverpool pada saingan liga, sekali gus menyaksikan mereka kekal menghuni tangga keempat dengan 40 mata.

Sebaliknya, Leicester melonjak ke tangga kedua apabila merekodkan 46 mata - satu mata meninggalkan Manchester United yang bakal menentang West Bromwich pada Ahad.

Sebelum aksi berdepan Leicester, The Reds mengalami kekalahan 0-1 kepada Brighton pada 4 Februari sebelum tewas 1-4 di tangan pendahulu, Manchester City di Anfield empat hari kemudian.

Dalam pertemuan tadi, Liverpool terlebih dulu berada di depan hasil jaringan penyerang berbisa, Mohamed Salah yang menyudahkan umpanan cantik Roberto Firmino pada minit ke-67.

Bagaimanapun, 'malapetaka' mula menimpa Liverpool apabila James Maddison berjaya menyamakan kedudukan buat Leicester hasil sepakan percuma pada minit ke-78.

Berselang tiga minit kemudian, Leicester memperoleh gol kedua menerusi jaringan Jamie Vardy akibat kesilapan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker dan pertahanan baharu The Reds, Ozan Kabak.

Leicester mengesahkan kemenangan bergaya di laman sendiri apabila bintang muda, Harvey Barnes meledak gol ketiga The Foxes pada minit ke-85.

Artikel Berkaitan: