X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19 eratkan Malaysia-China

A
A

DUNIA sedang berusaha menghadapi kesukaran akibat pandemik Covid-19. Bagaimanapun, Covid-19 secara tidak langsung telah mempereratkan lagi hubungan Malaysia-China.

Pepatah Cina yang menyebut ‘ketika menghadapi kesukaran menyaksikan keikhlasan yang sebenar’. Semasa China sedang giat menghadapi penularan virus Covid-19 di Wuhan pada awal tahun 2020 bantuan telah disalurkan oleh kerajaan Malaysia serta badan-badan bukan kerajaan seperti dewan perniagaan serta syarikat-syarikat perniagaan. Bantuan daripada Malaysia terdiri daripada sarung tangan getah.

Apabila Malaysia dilanda pandemik Covid-19 China telah membalas budi Malaysia dengan menghantar peralatan seperti topeng muka, ventilator, kit ujian serta sanitizer bagi membantu kerajaan Malaysia membendung penularan virus Covid-19.

Pakar perubatan dan kesihatan China telah mengadakan persidangan video dengan pakar-pakar perubatan dari 26 hospital di Malaysia untuk membincangkan kaedah rawatan serta kawalan jangkitan virus.

Selain itu, Malaysia telah mendapat jaminan daripada China bahawa Malaysia akan diberi keutamaan dalam memperolehi vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berkata, mantan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian telah menegaskan bahawa China akan memberi keutamaan kepada Malaysia dalam memperolehi vaksin.

Bai Tian telah memberitahu bahawa kerajaan China amat menghargai bantuan dan sokongan yang diberi oleh Malaysia ketika China sedang menghadapi musibah. Oleh demikian sarung tangan dan topeng muka sudah menjadi simbol persahabatan antara Malaysia dan China.

Dari segi perdagangan, China telah menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 111 tahun berturut-turut dengan nilai dagangan tahun lepas merekodkan RM315.19 bilion.

Pada 2019 juga nilai pelaburan China di Malaysia ialah sebanyak RM18.25 bilion, menjadikan negara itu sebagai sumber pelaburan langsung asing ke-10 terbesar di Malaysia.

Diharapkan kerjasama ekonomi antara Malaysia-China akan dipertingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi misalnya elektronik berkualiti tinggi, bio-perubatan dan tenaga hijau.

Selain isu perdagangan, hubungan dengan China juga penting kerana sebahagian daripada penduduk Malaysia terdiri daripada etnik berbangsa Cina. Ini memperkukuhkan lagi hubungan bilateral Malaysia-China.

China juga mengunjungi kepimpinan Malaysia dalam politik antarabangsa terutama kejayaan menganjur persidangan antarabangsa secara maya ketika pandemik Covid-19.

China turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menganjurkan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang menyaksikan pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur serta pelancaran Visi Putrajaya 2040.

Muhyiddin menegaskan pengisytiharan Deklarasi Kuala Lumpur dan pelancaran Visi Putrajaya 2040 itu bakal menjadi aspirasi baharu kepada komuniti APEC bagi pertumbuhan ekonomi serantau dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Dalam isu tuntutan bertindih Laut China Selatan, Malaysia konsisten dengan pendiriannya bahawa jalan penyelesaian adalah melalui kaedah rundingan dan damai berlandaskan Undang-Undang Antarabangsa serta norma-norma antarabangsa.

Dianggarkan hampir 40 hingga 50 peratus barangan yang diperdagangkan di dunia pernah melalui Laut China Selatan dan Selat Melaka, maka sebarang konflik ketenteraan di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka pasti akan membawa kerugian kepada semua pihak.

Walaupun hubungan diplomatik antara Malaysia-China hanya bermula pada tahun 1974, namun dari segi sejarah hubungan Malaysia-China sudah terjalin ratusan tahun.

Perlu ditegaskan sejarah hubungan Malaysia-China sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka mesra dan saling menghormati antara satu sama lain.

China ketika itu merupakan sebuah empayar yang kuat namun tidak pernah mendirikan tanah jajahan di Nusantara. Dalam sejarah moden, China menghargai Malaysia yang merupakan negara pertama dari rantau Asia Tenggara yang mengiktirafnya.

Hubungan Malaysia-China bersifat win-win situation kerana kedua-dua negara saling memerlukan satu sama lain seperti pepatah Cina ‘emas senang diperolehi, sahabat karib lebih sukar dicari.’

Selain isu perdagangan, hubungan dengan China juga penting kerana sebahagian daripada penduduk Malaysia terdiri daripada etnik berbangsa Cina.”

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!