PKPD: Polis sekat 13 laluan tikus tiga kampung di Besut

Abdul Rozak (kiri) meninjau kerja-kerja pemasangan kawat duri di tiga buah kampung di Mukim Pasir Akar, Besut yang dikuatkuasakan PKPD bermula jam 12.01 tengah malam ini.
Abdul Rozak (kiri) meninjau kerja-kerja pemasangan kawat duri di tiga buah kampung di Mukim Pasir Akar, Besut yang dikuatkuasakan PKPD bermula jam 12.01 tengah malam ini.
A
A
A

BESUT - Polis menyekat 13 laluan tikus yang sering digunakan penduduk di tiga kampung dalam Mukim Pasir Akar, Besut, Terengganu yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula jam 12.01 tengah malam ini hingga 27 Februari.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Darau-Awek, Kampung Padang Baloh dan Kampung Lepan Kejor.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kerja-kerja pemasangan kawat duri dan penghalang jalan (road barrier) telah dimulakan sejak petang.

"Kita telah melakukan kerja-kerja pemasangan kawat duri dan penghalang jalan bagi sekatan keluar masuk di kawasan terlibat.

"PKPD bagi kawasan ini akan dikawal seramai 58 anggota terdiri daripada pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya ketika melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR), di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, semua penduduk di kawasan ini tidak dibenarkan keluar masuk menjelang maghrib pada Sabtu.

"13 laluan tikus yang dikesan akan dipasang kawat duri dan road barrier bagi memastikan tiada jalan tikus yang akan digunakan sebagai laluan keluar masuk.

"Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), semua aktiviti melibatkan keluar masuk perlu dihentikan.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, kita akan sentiasa mengemaskini dari masa ke masa perkembangan SOP khusus dari MKN di tiga buah kampung ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 41 kompaun dikeluarkan dan empat individu ditahan di daerah itu ekoran kegagalan mematuhi SOP MKN sejak PKP dilaksanakan.

Pada Jumaat, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan melaksanakan PKPD di tiga lokaliti itu berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung situasi jangkitan Covid-19 di tiga kampung berkenaan.

Katanya, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 570 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes positif Covid-19 direkodkan meliputi ketiga-tiga lokaliti ini.