'Baru rancang jual kuih, rumah pula terbakar'

Halimah duduk di kerusi keletihan selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Alor Bakat, Mahligai, Bachok.
Halimah duduk di kerusi keletihan selepas rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Alor Bakat, Mahligai, Bachok.
A
A
A

BACHOK - Hasrat seorang warga emas membuka gerai menjual kuih di hadapan rumah untuk mencari rezeki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19, ‘hangus’ bersama rumahnya yang terbakar dalam kejadian membabitkan dua kediaman di hadapan Masjid Alor Bakat, Mahligai di sini, pada pagi Sabtu.

Halimah Mayan, 60, berkata, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 4 pagi ketika sedang menyediakan cucur untuk dijual di kedai makan berdekatan.

"Saya bangun pada jam 3.30 pagi untuk memasak cucur sebelum terhidu bau hangit. Anak bongsu, Luqman Khalil, 22, yang terjaga dari tidur beritahu ada api di ruang tamu. Saya fikir ubat nyamuk jatuh atas permaidani dan mengambil air untuk menyimbah api.

“Sampai di ruang tamu, api sudah menjulang sehingga ke bumbung. Kami terus menyelamatkan diri dengan berlari keluar sehelai sepinggang melalui pintu dapur,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian pada Sabtu.

Menurut Halimah, suaminya, Azmi Wahab, 59, yang menghidap kanser hati kebetulan ketika itu tidur dalam kereta Perodua Viva di hadapan rumah mereka.

Kebakaran memusnahkan dua rumah penduduk di hadapan Masjid Alor Bakat, Mahligai, Bachok pada Sabtu.
Kebakaran memusnahkan dua rumah penduduk di hadapan Masjid Alor Bakat, Mahligai, Bachok pada Sabtu.

"Suami tidur di dalam kereta kerana sudah tiga hari tidak dapat tidur.

“Kedai gunting rambut miliknya yang bersambung dengan rumah juga hangus, begitu juga kelengkapan untuk saya membuka gerai kuih,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Halimah, boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Halimah iaitu 0311429000085344.

Sementara itu, jiran Halimah iaitu Siti Hawa Hamat, 72, turut terlibat dalam kebakaran itu namun dia bersama anak, menantu dan tiga cucunya terselamat.

JSiti Hawa Hamat bersama salah seorang cucunya yang turut menjadi mangsa dalam kebakaran di Kampung Alor Bakat, Mahligai, Bachok pada Sabtu.
JSiti Hawa Hamat bersama salah seorang cucunya yang turut menjadi mangsa dalam kebakaran di Kampung Alor Bakat, Mahligai, Bachok pada Sabtu.

“Penduduk melaungkan azan bagi meredakan kebakaran sebelum bomba datang memadamkan api. Saya pun tak jadi berpuasa hari ini (Sabtu),” kata ibu tunggal itu.

Dalam pada itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok, Pegawai Bomba Kanan II, Ayub Mahmood berkata, kebakaran dipadamkan dengan kekuatan 25 anggota dari BBP Bachok, Ketereh dan Pasir Tumbuh.

“Rumah pertama ada tiga penghuni manakala rumah kedua ada enam penghuni. Kesemua mereka terselamat tanpa kemalangan jiwa,” katanya.