Saya pancing guna umpan bukan wang, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi (Hantaran Ahmad Zahid di Facebooknya pada Sabtu.)
Ahmad Zahid Hamidi (Hantaran Ahmad Zahid di Facebooknya pada Sabtu.)
A
A
A

SHAH ALAM - Selepas kerajaan membenarkan semula aktiviti rekreasi memancing semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berkongsi pengalamannya melakukan aktiviti tersebut pada hujung minggu.

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu, Ahmad Zahid menyatakan bahawa ramai pihak yang tidak mengetahui mengenai hobinya yang gemar memancing ikan.

Menurutnya, memancing adalah hobinya sejak kecil dan akan dilakukan jika ada masa lapang ketika pulang ke kampung.

“Mungkin ramai tidak tahu, saya juga seorang kaki pancing dan saya mengesahkan saya cuma pancing ikan.

“Saya tidak pancing orang. Pancing ikan guna umpan. Pancing orang guna wang. Tak bagus,” katanya secara sinis.

Pada ketika ini, hubungan di antara antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berada dalam keadaan yang tidak menentu ekoran wujudnya dakwaan yang mengatakan terdapatnya cubaan daripada Bersatu untuk membeli ahli UMNO.

Isu tersebut merupakan antara punca utama yang menyebabkan berlakunya keretakan perhubungan antara kedua-dua parti tersebut yang sebelum ini bersetuju untuk menubuhkan kerajaan bagi menggantikan Pakatan Harapan (PH) pada Februari tahun lalu.

Ekoran daripada beberapa siri dakwaan dan tuduhan yang berlaku, Majlis Tertinggi UMNO pada awal Januari telah mengumumkan bahawa parti tersebut bersetuju dengan usul untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keputusan tersebut gagal dimuktamadkan dan diabsahkan apabila Perhimpunan Agung UMNO yang akan dijadualkan pada 31 Januari lalu terpaksa ditangguhkan akibat daripada pelaksanaan PKP.

Pada masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Bangan Datuk itu berkata, kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan untuk aktiviti memancing itu pastinnya menjadi berita gembira buat semua ‘kaki pancing’.

“Seronok betul kaki pancing apabila kerajaan umum aktiviti memancing dibenarkan bermula semalam (Jumaat). Saya dengar cerita ramai masuk stor sejak kelmarin. Petang umum, malam sudah 'setting' mesin, joran, tali siap-siap.

“Almaklum sudah lama tersadai. Takut sangkut-sangkut. Kasi 'cuci' untuk 'high performance'. Baru mantap. Apapun hanya kaki pancing sahaja mengerti dan memahami betapa indahnya detik-detik ini,” katanya.

Katanya, aktiviti memancing juga merupakan kegiatan yang sangat baik untuk kesihatan mental dan fizikal masyarakat.

“Memancing mampu merendahkan tahap stres dan menjadikan seseorang makin cergas. Jangan ingat mudah nak mendaratkan ikan apatah yang bersaiz besar,” katanya.