Kluster tempat kerja dominasi gelombang ketiga Covid- 19

Adham ( kanan) meninjau keadaan tempat penginapan pekerja asing di bangunan rumah kedai di Senai pada Sabtu.
Adham ( kanan) meninjau keadaan tempat penginapan pekerja asing di bangunan rumah kedai di Senai pada Sabtu.
A
A
A

KULAI - Kluster tempat kerja mendominasi gelombang ketiga penularan Covid- 19 di negara ini di mana 527 kluster dengan 78,906 kes positif direkodkan sehingga Jumaat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah itu seramai 58, 318 merupakan bukan warganegara manakala selebihnya 20,588 adalah warganegara.

Katanya, kluster tempat kerja merangkumi kategori pembuatan yang merekodkan 194 kluster diikuti perkhidmatan (175) pembinaan (94), pentadbiran awam (39), pertanian ( 14) dan perlombongan/kuari (8).

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan gelombang ketiga Covid-19, bermula 20 September 2020 hingga 12 Febuari lalu dengan 852 kluster direkodkan di mana 527 melibatkan kluster tempat kerja.

"Dalam kluster tempat kerja ini, seramai 315,100 telah disaring dan 78,906 didapati positif Covid- 19. Daripada jumlah kes positif itu seramai 58,318 merupakan bukan warganegara manakala 20,588 adalah warganegara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi bersepadu KKM, Polis Diraja Malaysia ( PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) ke penempatan pekerja warga asing di kawasan industri Senai pada Sabtu.

Lawatan tersebut dilakukan susulan rekod pekerja positif Covid-19 yang tinggi diterima KKM pada 5 hingga 11 Febuari lalu setelah 568 pekerja kilang di Kulai menjalani saringan bersasar dengan 327 daripadanya disahkan positif Covid- 19.

Katanya, menerusi operasi bersepadu yang dilakukan itu, pihaknya mendapati keadaan tempat penginapan pekerja sesak dan sempit.

Artikel Berkaitan:

"Tempat penginapan terbabit difahamkan didiami oleh pekerja warga asing dari tiga kilang berbeza di Senai. Seramai 19 hingga 25 pekerja ditempatkan di dalam tempat penginapan rumah kedai tersebut.

" Majikan didapati meletakkan pekerja warga asing mereka tanpa mengikut amalan 3S dan melanggar Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990(Akta 446)," katanya.

Justeru, beliau meminta JTK Johor menyiasat majikan dan agensi pekerjaan yang bertanggungjawab bagi mengatasi isu kesesakan di dalam tempat penginapan tersebut.