X

Kindly register in order to view this article
!

Lelaki maut langgar babi lintas jalan

Keadaan motosikal yang ditunggang mangsa rosak di bahagian hadapan selepas terlanggar babi yang melintas jalan di Jalan Bandau, Membakut, Beaufort pada Jumaat.
A
A

BEAUFORT - Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor babi yang melintas jalan dalam kejadian di Jalan Bandau, Membakut pada Jumaat.

Mangsa, Ag Satia Yusop, 45, disahkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi Sabtu ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II (QEHII), Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari arah pekan Membakut menuju ke Kampung Bandau.

"Kejadian berlaku pada jam 7.15 malam apabila mangsa tiba di lokasi, dipercayai seekor babi keluar secara tiba-tiba dan melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan.

"Mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar babi sebelum terjatuh di atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Beaufort untuk rawatan awal.

"Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan terpaksa dihantar ke QEHII untuk rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pada pada jam 8.45 pagi tadi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan disyaki akibat pendarahan pada dalaman otak," katanya.

Azmir berkata, siasatan lanjut mendapati, kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri yang gagal mengawal motosikalnya sehingga melanggar haiwan terbabit.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!