Keselamatan di pusat kuarantin dipertingkatkan

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

MELAKA - Kawalan keselamatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di seluruh negara akan ditingkatkan bagi mencegah sebarang kejadian tidak diingini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, ini termasuk menambah jumlah anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertugas di 391 pusat yang masih beroperasi dan aktif.

Katanya, usaha itu juga bagi mengelak imej PKRC tercalar dengan isu negatif susulan kejadian kecurian yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.

"Apabila terdapat ramai orang di situ, pelbagai masalah boleh timbul, jadi apa yang kita boleh lakukan ialah meningkatkan kawalan keselamatan di pusat-pusat tersebut.

"Dengan kehadiran lebih anggota APM di situ, mungkin rondaan boleh dilakukan sekerap mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program penyampaian Kit Bantuan Makanan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang, di sini hari ini.

Pada program tersebut, sebanyak 1,000 kit makanan disumbangkan kepada penduduk kawasan Parlimen Tangga Batu dalam usaha meringankan beban golongan yang terkesan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Khamis lalu, polis menahan dua lelaki selepas disyaki mencuri empat unit telefon bimbit milik pesakit di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di Selangor dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, kerajaan menerusi Nadma akan menubuhkan Program Sukarelawan Pemerkasaan Komuniti bagi membendung penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Program dijangka melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin setempat dan anggota masyarakat dalam program pendidikan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) serta pematuhan pencegahan Covid-19.

"Dengan adanya sukarelawan tersebut dalam kalangan komuniti, ia dilihat akan memberi kefahaman secara lebih luas tentang norma baharu serta bahayanya virus Covid-19 ini," katanya. - Bernama