'Salah laku rasuah dosa besar'

Ahmad Sufian - FOTO ROSLI TALIB
Ahmad Sufian - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Salah laku rasuah merupakan dosa besar kerana turut menghimpunkan perbuatan atau dosa lain untuk menyokongnya.

Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah berkata, rasuah tidak akan berlaku begitu tanpa dusta atau penipuan.

"Maknanya sebelum nak rasuah, seseorang itu kena menipu dahulu, kena ambil harta atau hak orang secara batil malah lebih buruk sehingga memberi bahaya atau mudarat kepada orang lain.

"Definisi rasuah juga luas, bukan setakat pemberian wang tetapi menurut para fuqaha ia menjadi lebih besar kerana melibatkan penyalahgunaan kuasa, 'favouritisme' termasuk urus tadbir," katanya pada Wacana al-Quran Siri 85 bertajuk Rasuah Dalam Perubatan di Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Ahmad Sufian turut memberi contoh proses nepotisme atau 'kabel' juga merupakan rasuah dan jika bukan disebabkan wujud 'sistem kabel' ini, hukuman terhadap seseorang itu mungkin berbeza.

Turut menjadi panel program itu, Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, sementara Ketua Pegawai Penyelidik, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator dan Qari, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman pula memperdengarkan bacaan sural al-Maidah ayat 42 dan surah al-Baqarah ayat 188.

Mengulas lanjut, Ahmad Sufian berkata, rasuah bukan sahaja tidak diterima oleh Islam tetapi agama lain.

Beliau berkata, disebutkan juga dalam al-Quran bahawa ALLAH SWT melaknat orang yang memberi, menerima dan menjadi perantara salah laku rasuah.

Artikel Berkaitan:

"Dalam agama tiada peruntukan secara spesifik tentang hukuman terhadap jenayah rasuah mahupun riba tetapi pesalah jenayah ini boleh dikenakan hukuman takzir iaitu ruang yang lebih luas untuk kerajaan atau pemerintah menghukum mereka yang melakukan dosa besar.

"Rasuah ada impak besar dan kecil dan kadang-kadang boleh sebabkan kematian. Contoh rasuah dalam perubatan boleh membahayakan orang lain, justeru hukuman bergantung kepada kesan dan Islam serahkan kepada pemerintah untuk tentukan takzir," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Sufian memberitahu, untuk mengelakkan rasuah, penerapan nilai takwa serta amanah dalam masyarakat amat penting.

"Takwa banyak ditekankan dalam pelbagai aspek terutama al-Quran dan ia mampu menghalang seseorang itu daripada terjerumus dalam rasuah.

"Konsep amanah pula diterjemahkan melalui ketelusan kerana kuasa ketelusan boleh menjadi kunci mengelak rasuah," katanya.