21 individu ditahan cuba rentas daerah guna lorong tikus

No Image Caption
A
A
A

BELURAN - Pasukan keselamatan menahan 21 individu yang didapati cuba merentas daerah menggunakan 'laluan tikus' dekat sini pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mereka ditahan sepasukan anggota daripada Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika membuat rondaan di laluan tikus terbabit kira-kira jam 5.30 pagi.

"Mereka berumur tiga hingga 41 tahun dan mendakwa berpindah dari sebuah ladang sawit di Telupid ke sebuah lagi ladang di Kinabatangan. Kedua-dua ladang milik sebuah syarikat yang sama.

"Seramai 16 orang daripada mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai warga Indonesia, manakala empat merupakan rakyat tempatan dan seorang warga Indonesia mempunyai dokumen yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kasim berkata, pihak berkuasa turut merampas tiga kenderaan pacuan empat roda.

Katanya, kes disiasat menurut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 55E akta sama terhadap pemilik ladang kerana membenarkan warga asing berada di dalam premis. - Bernama

Artikel Berkaitan: