Kejora tarik balik tanah pajakan langgar syarat

Che Zakaria (tengah) dan Mohd Salim selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk kategori B40 di pekarangan Surau Al Asyariah, Flat Balau, Taman Rinting, Pasir Gudang, pada Sabtu.
Che Zakaria (tengah) dan Mohd Salim selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk kategori B40 di pekarangan Surau Al Asyariah, Flat Balau, Taman Rinting, Pasir Gudang, pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) akan menarik balik tanah miliknya yang dipajakkan kepada pihak korporat, syarikat atau individu yang melanggar syarat-syarat pajakan.

Pengerusi Kejora, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, antara pelanggaran syarat ialah tidak mengikut tanaman yang dipersetujui dalam kontrak, tidak mengusahakan tanah dan memajaknya kepada pihak lain.

Beliau turut memberi contoh akan menarik balik tanah 161 hektar daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (Nafas) kerana melanggar syarat yang dipersetujui dalam kontrak kerana sepatutnya ditanam dengan koko tetapi ditukar kepada kelapa sawit.

"Surat sudah pun dihantar kepada Nafas untuk mendapatkan jawapan. Kita tidak kira siapa, jika langgar syarat tanah pajakan ditarik balik.

"Pada masa ini pihak pengurusan Kejora sedang menyiasat dan mendapatkan senarai pihak yang melanggar syarat termasuk jumlah kerugian ditanggung Kejora akibat kesalahan ini," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan barang keperluan asas kepada penduduk di pekarangan Surau Al Asyariah, Flat Balau, Taman Rinting di sini pada Sabtu.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Anak Muda Bersatu (AMB), Kelab Permotoran Bersatu Johor dan Kelab Anak Perantau itu turut menyampaikan bantuan bekalan barang keperluan asas dan cecair nyah kuman di Masjid Taman Molek.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Kebajikan AMB, Mohd Salim Veeran Kutty.

Che Zakaria berkata, selepas ini setiap tanah milik konglomerat itu yang mahu dipajakkan wajib mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Kejora (BOD) dan perlu mengikut prosedur.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang mengambil alih jawatan Pengerusi Kejora pada Mei lalu menegaskan, kelulusan tidak boleh lagi diberikan seperti sebelum ini yang dilihat ada ketirisan malah seolah-olah diberikan sesuka hati.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Kejora kini membuka tawaran kepada golongan muda memohon pajakan tanah untuk dibangunkan dengan projek pertanian sama ada kecil atau besar.

Katanya, Kejora sedang memperhalusi jumlah keluasan tanah yang dibenarkan untuk pajakan dalam tempoh dicadangkan 30 tahun, tiada had untuk jumlah pemohon namun perlu membangunkan tanah tersebut dan tidak melanggar syarat.

Pihak Kejora katanya, mencadangkan golongan muda yang berminat dengan projek pertanian untuk menanam buah-buahan tempatan kerana pasarannya luas serta mempunyai permintaan yang tinggi.