Kerajaan negeri, Pusat perlu bincang bantu peniaga terjejas

Mohamed Farid (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada peniaga di Pasar Kubang Pasu pada Sabtu.
Mohamed Farid (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada peniaga di Pasar Kubang Pasu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu melakukan perbincangan lanjut bagaimana cara untuk membantu meringankan bebanan peniaga yang berdepan dengan kekangan untuk membayar sewa dan lesen perniagaan sepanjang tahun ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, kerajaan Pusat telah menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi membantu kumpulan peniaga tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, isu cukai dan pelesenan perlu dibincangkan dengan kerajaan negeri memandangkan ia merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.

"Insya-ALLAH, kerajaan Pusat boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk kita lihat bagaimana kita boleh kurangkan beban-beban peniaga di Kelantan dan seluruh negara.

"Banyak perbincangan antara Pusat dan negeri perlu dilakukan supaya akhirnya kita dapat memberi sesuatu yang bermanfaat kepada semua peniaga di seluruh negara terutamanya di Kota Bharu.

"Perbincangan itu saya akan sarankan kepada kerajaan Pusat untuk diadakan segera. Banyak cara kita boleh selesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau meluangkan masa kira-kira sejam menyantuni peniaga di Pasar Kubang Pasu di sini dengan penyampaian bakul makanan dan keperluan kepada peniaga di pasar tersebut.

Sebelum ini, kerajaan negeri Kelantan mengumumkan pengecualian bayaran lesen kepada penjaja kecil dan peniaga pasar malam untuk tahun ini yang bernilai hampir RM1 juta.

Artikel Berkaitan:

Mengulas isu tersebut, Fared berkata, langkah yang telah diambil kerajaan negeri itu adalah sangat bertepatan dengan keadaan semasa yang mendesak masa kini.

Namun katanya, beliau berpendapat, pengecualian tersebut juga boleh dilaksanakan kepada peniaga-peniaga lain yang turut sama berdepan cabaran dalam perniagaan mereka.

"Walau bagaimanapun, semua ini boleh dibincangkan di meja perundingan melibatkan kerajaan negeri dan Pusat. Bukan hanya di Kelantan, tapi semua negeri di Malaysia," katanya.