'Petugas media anggota barisan hadapan'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Johan dan Chamil Wariya
Gambar hiasan. Gambar kecil: Johan dan Chamil Wariya
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa wartawan veteran mengatakan bahawa wartawan harus selalu berada di lapangan di mana aksi berlaku dan oleh yang demikian mereka juga boleh dikategorikan sebagai barisan hadapan.

Aksi tersebut mungkin berupa peristiwa, bencana alam, kemalangan jalan raya atau insiden penembakan, dan untuk melaporkan dengan sebaik-baiknya mereka terpaksa turun padang.

Tidak ada bezanya juga dalam hal meliputi peristiwa yang berkaitan dengan pandemik Covid-19 seperti sekatan pergerakan, sekatan jalan raya, pengedaran makanan dan sebagainya.

Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar berkata, para petugas media ini mahu tidak mahu terpaksa melaporkan pelbagai kegiatan dan aktiviti membabitkan Covid-19.

Mengambil contoh situasi pandemik koronavirus kini, bekas Pengerusi Media Prima Bhd dan bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu itu berkata ini termasuk merisikokan diri berada di mana-mana tempat yang berlaku wabak berkenaan seperti hospital, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan pusat kuarantin supaya apa yang berlaku di tempat ini dapat digambarkan dengan jelas kepada masyarakat.

“Tetapi tidak pula pernah disebut ‘frontliner’ (barisan hadapan) itu terdiri daripada para wartawan, ini sepatutnya berlaku sebab dalam apa keadaan sekali pun para wartawan akan berada di hadapan,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan beberapa petugas media dikesan positif Covid-19 selepas membuat liputan berita termasuk seorang petugas media yang membuat liputan Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu.

Tidak keterlaluan juga, menurut Johan, sekiranya para petugas media ini diletakkan sebagai golongan terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 atas faktor sifat pekerjaan mereka ini.

Artikel Berkaitan:

Turut senada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI) Datuk Chamil Wariya yang menzahirkan harapan kepada pihak berkuasa untuk mempertimbangkan cadangan menyenaraikan petugas media sebagai golongan terawal menerima suntikan itu.

Beliau berkata ia menjadi satu keperluan kepada golongan berkenaan kerana wujud kebarangkalian mereka bertembung pembawa Covid-19 yang tidak bergejala ketika menjalankan tugas.

“Misalnya, mereka (wartawan) mengikuti rombongan pemimpin melawat ke tempat tertentu, misalnya tempat yang menempatkan pesakit Covid-19. Secara langsung mereka ini terdedah (kepada Covid-19) walaupun mereka patuh segala prosedur operasi standard (SOP).

“Mereka ini mempunyai tugas penting untuk mencari maklumat, menemu ramah, seterusnya menyalurkan maklumat itu kepada orang ramai. Itulah pentingnya vaksin ini kepada mereka,” katanya.

Menurut Chamil, sejumlah 2,000 sehingga 3,000 suntikan vaksin sudah memadai bagi menampung jumlah keseluruhan petugas media di Malaysia.

Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Abdul Rashid Yusof tidak menolak bahawa teknologi boleh membantu petugas media membuat laporan tanpa turun padang, namun untuk menyampaikan gambaran sebenar sesuatu peristiwa, 'sentuhan manusia’ tetap penting.

“Media diharap untuk menginsankan naratif. Bagi menginsankan sebuah cerita, anda sentiasa akan memerlukan petikan. Ya...teknologi telah membantu ini tetapi wartawan masih perlu turun untuk bersemuka.

‘Malah, teknologi telah memaksa had kelajuan bagi penyaluran berita sebanyak 100 kali ganda. Oleh itu, wartawan sentiasa perlu bergerak,” katanya. - Bernama