X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

'Kerajaan perlu berhati-hati, tidak libatkan etnik Rohingya'

Iskandar Abdul Samad
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk memastikan supaya proses penghantaran balik 1,200 warganegara Myanmar tidak melibatkan mereka yang terdiri daripada etnik Rohingya.

Ketua Penyelaras, Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan perlu berhati-hati kerana dikhuatiri akan berlakunya kezaliman terhadap mereka yang dihantar pulang apabila tiba di Myanmar kelak.

“Kami menyokong jika mereka yang dihantar balik adalah mereka yang boleh mengancam keselamatan negara atau telah terlibat dengan kegiatan jenayah di Myanmar.

“Kebimbangan kami adalah terhadap etnik Rohingya beragama Islam yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar. Mereka telah berhadapan dengan penindasan, penganiayaan dan keganasan di negara mereka. Mereka menjadi mangsa kerana agama dan etnik mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Reuters melaporkan Malaysia akan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar selepas pemerintah tentera Myanmar yang melakukan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu menawarkan tiga kapal tentera laut bagi membawa mereka pulang.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Khairul Dzaimee Daud mengesahkan perkara tersebut dan berkata, pihak berkuasa bersetuju menyerahkan tahanan daripada depot tahanan imigresen kepada angkatan laut Myanmar.

Iskandar yang merupakan Bendahari Pas berkata, masalah pendatang tanpa izin dari Myanmar perlu diselesaikan dengan segera dan tegas antaranya dengan menempatkan semula mereka ke negara ketiga bagi memulakan hidup baharu yang lebih selamat.

Menurutnya, kerajaan juga perlu melakukan tindakan kepada kawasan yang dikuasai oleh kumpulan berkenaan seperti di perumahan flat kos rendah di Pandan, Selangor.

“Keadaannya terlalu kritikal sehingga menakutkan rakyat tempatan. Rakyat tidak melihat kerajaan melakukan apa-apa tindakan yang dapat melindungi mereka.

“Mereka bebas berniaga walaupun tidak memiliki sebarang dokumen yang dikeluarkan kerajaan Malaysia kecuali kad dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Akhirnya rakyat tempatan pula yang merasakan diri mereka seperti warganegara kelas kedua,” katanya.

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, melarikan diri dari Myanmar dan menuju ke Bangladesh selepas tentera Myanmar bertindak kejam terhadap komuniti minoriti Muslim pada Ogos 2017.

Sejak itu, hampir 24,000 Muslim Rohingya dibunuh tentera Myanmar, menurut laporan Pertubuhan Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!