Bena perang: CAP gesa MADA, Jabatan Pertanian ambil tindakan

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohideen
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mohideen
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjalankan kajian secara terperinci dan mengambil tindakan yang lebih berkesan bagi mengatasi ancaman bena perang ke atas tanaman padi di Kedah dan Perlis.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal kerana masalah itu sudah berlaku sejak lebih 20 tahun yang lalu, namun ia gagal ditangani hingga sekarang.

Menurutnya, ia menyebabkan petani yang terlibat mengalami kemerosotan hasil padi dan sumber pendapatan yang teruk.

"Pada 9 Februari lalu, akhbar melaporkan mengenai masalah ini. CAP bimbang jika ancaman tersebut gagal ditangani dengan berkesan, ia boleh menjejaskan ekonomi dan menjejaskan jumlah bekalan makanan negara pada masa akan datang.

"Kita percaya jika punca kejadian ini gagal dikesan dan diambil tindakan dengan berkesan, ia boleh merebak sekaligus menjejaskan kehidupan petani di kawasan jelapang padi ini dengan lebih teruk lagi pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Mohideen berkata, pihaknya meminta MADA dan Jabatan Pertanian mengkaji beberapa perkara penting dalam penanaman padi di kawasan tersebut.

"MADA dan Jabatan Pertanian perlu mengkaji penggunaan benih padi kurang berkualiti dan tidak mempunyai daya tahan daripada ancaman serangga perosak serta penyakit.

"Selain itu, mereka juga perlu mengkaji penggunaan racun makhluk perosak dan baja kimia, sistem tabur terus dan lain-lain faktor yang dilihat boleh menyumbang kepada berlakunya ancaman ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, akhbar melaporkan sejak November tahun lalu hingga awal bulan ini, sejumlah 725 hektar sawah padi di MADA Kedah dan Perlis diancam masalah itu.

Ia menyebabkan 277 hektar dari kawasan tersebut telah musnah.

Antara kawasan-kawasan yang serius mengalami serangan bena itu adalah Wilayah IV Kota Sarang Semut, Wilayah II Jitra, Wilayah III Pendang dan Wilayah I di Perlis.