Dilema kerjasama dalam ASEAN

A
A
A

HUJUNG minggu lalu dalam ruangan ini kita telah melihat senario semasa yang melatari konflik politik di Myanmar yang ketika ini bertukar semula kepada pemerintahan tentera. Kudeta tentera awal Februari lalu telah meletakkan semula Myanmar dalam radar politik antarabangsa.

Paling menarik sudah tentulah reaksi serantau terutamanya negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dianggotai Myanmar sejak tahun 1997.

Di sebalik tekanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan keengganan berterusan Myanmar untuk berkerjasama sepenuhnya, ASEAN tetap bertahan dengan Myanmar.

Mungkin sifat ASEAN sebagai organisasi berfahaman liberalis, maka tidak hairanlah mengapa ASEAN bersikap sedemikian.

Sesuai dengan kerangka liberal, ASEAN sentiasa melihat aspek bekerjasama dan kepentingan berpersatuan sebagai jaminan kestabilan dan keselamatan serantau.

Dalam hal ini,ASEAN dilihat sebagai suatu platform tepat bagi membentuk sebuah komuniti yang berpotensi untuk bekerjasama secara kolektif demi kestabilan serta keselamatan serantau, prasyarat utama dalam menjana kerjasama ekonomi di samping kerjasama dalam bidang-bidang yang lain.

Jadi, meminggirkan Myanmar dalam konteks ini memang sukar bagi ASEAN.

Penyertaan Myanmar ke dalam ASEAN membawa faedah ekonomi serta keselamatan yang sangat besar.

Artikel Berkaitan:

Kekayaan sumber alam serta kedudukan geografinya yang strategik dilihat penting bagi pembesaran saiz pasaran ASEAN terutamanya selepas penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) di samping meningkatkan pengaruh ekonomi rantau ini di peringkat global.

Pada hemat ASEAN, faedah ekonomi selalunya akan memberikan kesan limpah terhadap aspek politik lantas berpotensi mengurangkan ruang untuk berkonflik.

Maka perkara yang sama juga mampu berlaku di Myanmar.

Sebab itu dalam menghadapi kerenah aneka ragam Myanmar sepanjang menganggotai ASEAN, dua pendekatan yang berbeza telah diambil ASEAN iaitu pendekatan konstruktif ‘Cara ASEAN’ bermula pada tahun 1991 dan seterusnya pendekatan fleksibel dari tahun 1998 dan seterusnya.

Secara umum dua pendekatan itu bersifat diplomatik dan berhati-hati dalam menguruskan Myanmar.

Namun begitu intipati asas terhadap pendekatan itu dibentuk melalui prinsip tidak campur tangan ASEAN dalam hal ehwal dalaman Myanmar.

Prinsip ini sebenarnya tidak terpakai untuk Myanmar sahaja. Semenjak penubuhan ASEAN tahun 1967 prinsip itu sudah menjadi sebagai sebahagian daripada struktur keanggotaan bagi menghormati kemerdekaan, kedaulatan serta keunikan negara masing-masing.

Malah sehingga ke hari ini prinsip itu masih kuat dipertahankan di sebalik kewujudan Piagam ASEAN tahun 2008 yang menuntut kepada pembaharuan dalam struktur dan tata kelola kerjasama negara-negara anggota.

Cuma yang tak sedapnya Myanmar sudah acap kali menggunakan prinsip itu untuk lari dan mengelat setiap kali ada masalah yang akhirnya menyusahkan ASEAN.

Untuk rekod, Koresponden Kanan Akhbar South China Morning Post, Maria Siow dalam penulisannya melihat kudeta terbaharu di Myanmar kali ini adalah tanda yang jelas buat ASEAN agar tidak lagi berpegang pada prinsip tidak campur tangan yang terus merosakkan reputasi ASEAN terutamanya ketika Myanmar berlarutan menjadi duri dalam daging organisasi tersebut.

Dengan keengganan ASEAN untuk mengecam apatah lagi mengambil sebarang tindakan keras ke atas Myanmar secara unilateral, ASEAN jelas berpotensi untuk hilang pengaruh dan kredibilitinya sebagai sebuah organisasi yang berkesan.

Maka ASEAN akan selamanya menjadi sebuah organisasi serantau yang tidak penting dan hanya sekadar satu platform bersifat keraian yang tidak membawa sebarang hasil.

Apakah Piagam ASEAN yang sepatutnya menjadi kerangka kerjasama baharu negara-negara anggota sekadar menjadi nota kaki sejarah organisasi itu disebabkan prinsip tidak campur tangan yang masih kuat membelenggu.

Di sebalik pengembangan dan pemerkasaan organisasi itu sepanjang 54 tahun penubuhannya, jelas dalam kes Myanmar ia menunjukkan ASEAN masih belum berupaya mengintegrasi dan mengangkat rantau ini menjadi sebuah komuniti, jauh sekali berubah menjadi sebuah kesatuan ‘ala EU’ selagi mana ASEAN tidak mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana anggota yang melanggar prinsip-prinsip dalam Piagam ASEAN, termasuklah perkara yang melibatkan pencabulan hak asasi manusia.

Realitinya ASEAN jelas masih terkial-kial untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi sepertimana yang digariskan di awal penubuhannya.

Malah ASEAN juga masih jauh untuk mencipta keberhasilan kerjasama dalam bidang-bidang yang lain seperti keselamatan, politik, sosial, budaya dan pendidikan.

Maka tidak hairanlah ramai yang melihat ASEAN sebagai sebuah organisasi yang belum menghasilkan sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan terutamanya dalam konteks kesepakatan sebagai sebuah organisasi serantau yang mantap dan berkesan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)