Ketara sikap tidak terbuka

A
A
A

AGAK lama saya mencari jawapan maksud tersirat pepatah Melayu, ‘Jangan menjaga tepi kain orang’.

Walaupun kamus Bahasa Melayu menterjemahkan sebagai ‘Jangan mengambil tahu hal orang lain, namun saya percaya maksud tersirat adalah melangkaui makna dalam terjemahan tersebut.

Kenapa begitu? Pada hemat saya, sosio budaya masyarakat Melayu yang begitu tertutup pada ketika itu menyebabkan sikap tidak boleh ditegur adalah begitu menebal sekali. Lantaran itu, untuk tidak mencari nahas lebih elok ‘Jangan menjaga tepi kain orang’.

Sebetulnya, sikap tidak boleh menerima teguran bukan sahaja berlaku sejak dulu-dulu, namun akan terus berlaku selagi kita tidak terbuka untuk menerima teguran.

Sejujurnya, untuk menerima sesuatu teguran bukan mudah kerana melibatkan ego kita yang begitu tinggi.

Sikap sebegini, ada pada sesiapa sahaja. Apa yang jelas, bagi yang cerdik namun tidak boleh ditegur, mereka sebenarnya bodoh dan sombong manakala bagi yang bodoh dan tidak boleh menerima teguran, mereka telah mencelakakan diri sendiri.

Justeru, mereka yang bijak dan beruntung adalah golongan yang sentiasa menerima teguran dengan rendah diri dan melakukan refleksi terhadap teguran tersebut.

Berkaitan dengan sikap terbuka, kita tidak boleh hanya mengharapkan orang lain untuk bersikap terbuka, namun kita sendiri masih tertutup.

Artikel Berkaitan:

Secara lebih jelas, sikap sebegini seumpama diri kita berada di dalam kereta yang bercermin gelap di mana bebas untuk melihat kelemahan orang lain, manakala orang yang berada di luar tidak nampak kekurangan diri kita kerana terhalang oleh cermin gelap tersebut.

Hakikatnya, keadaan sebeginilah yang berlaku pada hari ini. di mana mereka terhalang oleh ‘cermin gelap’ yang dibina oleh kita sendiri.

Apa yang lebih malang, kita hanya membuka cermin gelap tersebut untuk orang-orang yang tertentu sahaja.

Realitinya, boleh dikatakan semua pihak sudah berjangkit dengan penyakit ini.

Apa yang menyedihkan, sikap mereka yang mempertahankan diri bukan sahaja dilakukan secara berseorangan malah melibatkan secara berjemaah.

Tambahan pula, jika beliau berada di dalam jemaah berkenaan.

Walaupun tindakan beliau secara terang-terangan adalah salah, namun kerana kekuatan jemaah, perkara yang salah telah didamaikan oleh kelompoknya.

Ingatlah, perbuatan sebegini seumpama menutup bangkai dengan sehelai kain di mana bangkainya berjaya ditutup namun bau busuk tidak akan hilang jua.

Benarlah kata orang tua-tua dahulu, bahawa kita dijadikan dua telinga dan satu mulut supaya lebih banyak mendengar berbanding dengan bercakap.

Apabila kita kurang mendengar sampai bila pun kita akan syok dengan kehebatan diri sehingga lupa bahawa kita akan terhumban dan dihumbankan sekiranya kekal dengan sikap sedemikian.

Lihatlah hari ini, betapa ramai yang begitu sombong dan degil dengan pendirian masing-masing.

Bagi mereka yang berkuasa, semakin tinggi kadar kedegilan mereka untuk mendengar suara-suara golongan marhaen.

Ada ketikanya, mereka menggunakan kuasa untuk ‘mendiamkan’ kelompok ini dengan pelbagai cara.

Ya benar, mereka akan berjaya hari ini. Namun apabila bantahan semakin banyak, lama-kelamaan akan meledak jua seumpama tekanan air yang begitu tinggi di dalam saluran paip yang kecil. Justeru, sampai masanya untuk menggantikan saluran paip lama kepada baru yang lebih besar salurannya.

Adalah jelas, sikap sombong ini sejajar dengan firman ALLAH SWT, “Dan janganlah engkau memalingkan muka mu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong, takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman, 31:18).

Sedarlah, kita bukannya sempurna terimalah teguran walaupun pahit. Malulah dengan ALLAH SWT kerana hanya Dialah bersifat sempurna.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis