X

Kindly register in order to view this article
!

Kapitalis menang, buruh tidak berjaya

A
A

KARL Marx percaya bahawa hubungan buruh dan kapitalis merupakan hubungan eksploitasi. Hubungan yang tidak berasaskan keadilan, ihsan dan timbang rasa tetapi lebih kepada kerahan tenaga kerja.

Hasil kerahan tenaga ini diberi upah yang tidak setimpal kepada golongan buruh itu. Dan hasilnya kapitalis semakin kaya, buruh semakin papa kedana. Dan Marx percaya satu hari nanti akan berlaku revolusi, pertembungan buruh dan kapitalis di mana kapitalis akan hancur dan musnah.

Namun Marx silap! Kapitalis berevolusi. Mereka sebenarnya mula mendengar saranan atau perjuangan buruh yang dipelopori Marx.

Mereka mula memberi kepada golongan buruh dengan skim kenaikan gaji, cuti tahunan, cuti rehat, cuti sakit, bonus, dan juga pencen.

Kapitalis mula menang dan golongan buruh mula selesa dan senyap.

Baru-baru ini pula kecoh tentang pekerja-pekerja syarikat kurier dikatakan telah melempar barang-barang pelanggan di gudang mereka.

Ia tular melalui video yang dikatakan pekerja tidak puas hati kepada majikan yang memotong upah mereka.

Isu ini sekali lagi membawa kepada banyak perdebatan di media sosial. Ada yang menyalahkan pekerja itu sendiri yang sepatutnya tidak melepaskan geram ke atas barang-barang mereka tetapi lepaslah amarah itu ke atas majikan sendiri.

Ada yang mencadangkan kalau tidak mampu atau berani, calarkan sahaja kereta bos mereka. Katanya seorang netizen yang mungkin telah terkenang kisah lama mencalar kereta guru disiplin dia agaknya.

Ada yang mencadangkan perlu ada kesatuan buruh untuk memperjuangkan nasib mereka di tempat kerja. Bertujuan untuk dibincangkan dengan lebih baik dalam melindungi hak pekerja-pekerja itu.

Namun katanya, netizen yang lain pula, susah juga hendak mewujudkan kesatuan buruh di tempat kerja kerana mungkin ada yang tidak ada pengetahuan, latar belakang akademik rendah dan mereka hanya ingin menyara hidup.

Pelbagai cadangan telah dilontarkan mereka. Akhirnya, syarikat tersebut melalui pekerjanya telah meminta maaf di atas yang berlaku dan berjanji tidak mengulanginya lagi. Dan kapitalis menang, buruh diam tidak berdaya.

Saya tidak tahu apakah yang terjadi tentang dakwaan upah dipotong itu. Sama ada selesai atau tidak. Tetapi biasanya, majikan lebih berkuasa.

Mereka menggunakan pelbagai cara yang menyebabkan pekerja angguk-angguk sahaja.

Pada masa yang sama juga, kebanyakan majikan sekarang lebih suka mengambil pekerja kontrak sahaja. Amat sukar untuk melihat pengambilan pekerja tetap sekarang. Tidak terkecuali di perkhidmatan awam juga.

Apabila tiba masanya, tidak diperlukan, boleh sahaja ditamatkan awal kontrak atau tidak disambung apabila habis kontrak.

Maka mereka yang habis kontrak ini terpaksa mencari kerja lain yang mungkin juga kontrak untuk menyara hidup.

Majikan yang bersifat kapitalis ini sudah tentu akan melindungi diri mereka sendiri supaya dapat bertahan dan mengaut keuntungan yang berlipat ganda dengan hasil perahan tenaga kerja buruh.

Baru-baru ini saya ada juga membeli barang di dalam talian. Melalui ‘tracking number’, saya dapati sudah beberapa kali barang keluar tetapi tidak dihantar.

Hari ketiga saya dapati barang itu sudah tidak keluar dari gudang sehingga pukul tiga petang.

Saya terus menelefon syarikat perkhidmatan kurier tersebut yang tidaklah jauh dari rumah saya. Lagi pun sudah ada beberapa orang yang saya kenal juga.

“Man, saya tengok barang saya tak keluar lagi. Sempat ke hantar?” tanya saya.

“Itulah bang, barang banyak. Takut tak sempat. Sekarang kena tambah pekerja sambilan,” kata Man.

“Tak apa Man, kalau tak sempat saya ambil sendiri, boleh?” tanya saya cuba meringankan beban Man.

“Oh boleh bang terima kasih,” jawab Man ceria.

Sampai di pejabat mereka, kelihatan beberapa pekerja sibuk memunggah barang.

Keadaan agak kelam kabut juga dengan adanya beberapa pelanggan lain yang mungkin ingin mengambil barang sendiri.

“Man memang banyak ke barang tiap-tiap hari?”

“Banyak bang, Tetapi sebelum tak adalah banyak begini. Kebiasaan hanya 2000 barang sahaja sehari. Tetapi sekarang, cecah 6000 barang setiap hari,” kata Man menggeleng kepala.

“Oh, tu dia! Kenapa banyak sangat Man? Sebab PKP kot?” tanya saya lagi.

“Tak juga bang. Dulu PKP pun tak adalah sampai banyak begini tiap-tiap hari. Depa dapat I-Sinar bang. Saya pun ada pesan barang juga, masih tak sampai,” kata Man ketawa terbahak-bahak.

Saya yang juga ikut ketawa terbahak-bahak bercampur-baur dengan kesedihan melihat kegigihan Man.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau: [email protected]


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!