Kesejahteraan bermula dalam diri sendiri

Ras Adiba - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ras Adiba - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Kesejahteraan dalam diri sendiri pada setiap individu adalah tonggak kesejahteraan hidup masyarakat secara keseluruhannya dengan berpaksikan kepada kepercayaan kepada tuhan.

Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Ras Adiba Mohd Radzi berkata, dengan pegangan tersebut, iamampu mendorong seseorang khususnya golongan OKU untuk lebih maju.

"Paling utama adalah (sokongan) Yang Maha Esa. Tuhan itu Maha Kaya, kita tahu dalam al-Quran ada menceritakan bagaimana kita harus menyokong OKU dan bagaimana istimewanya OKU itu.

"Jadi dengan pegangan yang kita ada, dari situ kita boleh maju ke hadapan. Jika kita tidak boleh sejahtera di luar, kita perlu sejahtera dalam diri kita sendiri.

"Secara peribadi, saya belajar dalam hidup ini kita ramai kenalan namun paling utama sebenarnya kita adalah sahabat karib kepada diri kita sendiri dan yang Maha Esa itu yang membawa ke mana saya sehingga hari ini," katanya pada Program Wacana Al-Quran Siri ke-84 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup OKU - Antara Impian dan Realiti' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis.

Wacana tersebut dibawakan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan misi MengQurankan Bangsa, MengIkhlaskan Ummah melalui Baca, Faham dan Amal.

Ras Adiba (tengah) sebagai panelis Program Wacana Al-Quran Siri ke-84 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup OKU - Antara Impian dan Realiti' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ras Adiba (tengah) sebagai panelis Program Wacana Al-Quran Siri ke-84 bertajuk ‘Kesejahteraan Hidup OKU - Antara Impian dan Realiti' di Kumpulan Karangkraf di sini pada Khamis. - FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR

Turut menjadi panelis ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

Artikel Berkaitan:

Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail bertindak sebagai moderator, manakala qari jemputan, Abdul Khair Jalil memperdengarkan surah Al-Qasas ayat 77.

Ras Adiba berkata, dalam konteks kesejahteraan golongan OKU, diakui bahawa keupayaan OKU amat terbatas bukan kerana ketidak upayaan mereka sebaliknya adalah kekurangan keadaan persekitaran yang tidak menerima mereka.

Katanya, persekitaran masih banyak yang perlu diperbaiki dan masyarakat juga harus bersama berusaha bukan hanya kerajaan.

"Kami cuba sedaya upaya dengan cara kami sendiri dengan kategori OKU yang berbeza-beza ini untuk hidup dengan sejahtera tetapi bagaimana kami boleh hidup dengan sejahtera sekiranya persekitaran tidak membenarkan dan menerima kami?" katanya.

Justeru beliau berkata, golongan kanak-kanak perlu didedahkan lebih awal tentang golongan OKU agar mereka dapat memahami kepelbagaian OKU itu sendiri.

"Intervensi seawal pra sekolah amat penting demi kesedaran kepada masyarakat agar memberi sokongan kepada OKU demi kesejahteraan hidup semua.

"Penting bagaimana kita bagi sokongan kepda OKU dan penjaga mereka. Saya akan gunakan pengalaman saya untuk memperkasakan sahabat-sahabat saya,"katanya.