Covid-19: Jangkitan ‘indoor’ lebih berisiko berbanding ‘outdoor’

Wacana siri ke-231 membincangkan topik 'SOP Covid-19: Pasar Malam Boleh, Masjid Tak Boleh'.
Wacana siri ke-231 membincangkan topik 'SOP Covid-19: Pasar Malam Boleh, Masjid Tak Boleh'.
A
A
A

SHAH ALAM - Jangkitan Covid-19 sebenarnya lebih berisiko ketika berada di dalam bangunan berbanding di luar bangunan.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, kajian mendapati keadaan di dalam bangunan boleh tersebar pada kadar lebih tinggi.

“Sebagai contoh, dalam bilik mesyuarat, bangunan tertutup dan mempunyai pendingin hawa. Tiada pertukaran udara di sekitarnya. Kebanyakan pendingin hawa menggunakan semula udara yang digunakan.

“Justeru, ada risiko untuk kita menghidu udara tercemar. Berbanding dengan kawasan di luar bangunan, kuantiti udara sangat banyak, jadi virus ini boleh tersebar dengan lebih jauh di samping mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Edisi Ke-231 bertajuk ‘SOP Covid-19: Pasar Malam Boleh, Masjid Tak Boleh’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Dalam wacana itu, turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis ialah Presiden Persatuan Pakar Perubatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Omar, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor manakala personaliti televisyen, Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut beliau berkata, virus Covid-19 boleh disebarkan melalui titisan pernafasan (respirotary droplets) atau sentuhan.

Katanya, seseorang boleh menjangkiti orang lain sekiranya menghidu udara tercemar dan memegang sebarang objek yang dijangkiti kuman.

Artikel Berkaitan:

“Secara teorinya, titisan pernafasan ini boleh berterbangan di udara sehingga enam kaki daripada sumbernya namun dalam keadaan tertentu, virus ini boleh berterbangan dengan lebih jauh.

“Contohnya, jika seseorang itu bercakap, percikan air liur tidak jauh, mungkin dalam satu kaki atau dua kaki. Jika dibandingkan dengan seseorang yang mungkin bersin sangat kuat, mungkin titisan ini pergi lebih jauh dari enam kaki,” katanya.

Ketika ditanya mengenai suntikan vaksin Covid-19, beliau berkata, vaksin bukanlah sesuatu yang dianggap sebagai penyelesaian masalah, tetapi ia membantu menyelesaikan masalah.

Beliau berkata, untuk mendapatkan imuniti kelompok sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk perlu diimun.

“Pada fasa pertama mungkin 10 peratus sahaja yang mendapat vaksin. Jadi, kita belum mendapat imuniti kelompok. Virus ini boleh menjangkiti, kes-kes masih lagi boleh dikesan.

“Justeru, kita perlu meneruskan norma-norma baharu dengan memakai pelitup muka, jaga penjarakan sosial (fizikal) dan kerap membasuh tangan,” katanya.