Pantau penjualan alat jimat elektrik di media sosial

SUBBAROW
A
A

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memantau lebih agresif aktiviti perniagaan dalam talian yang menjual barangan seperti alat penjimat elektrik dikhuatiri barangan tidak memiliki pengiktirafan Sirim.

Pegawai Pendidikan CAP, N V Subbarow berkata, pada masa sama kerajaan perlu bertindak tegas terhadap syarikat penghantaran (kurier) menyediakan khidmat penghantaran peralatan seperti itu yang tidak mempunyai kelulusan tahap keselamatan pensijilan barangan oleh Sirim.

Ini termasuklah alat penjimat elektrik yang telah dikesan dijual secara dalam talian sedangkan ada penjual mengakui produk itu tiada pensijilan Sirim.

"Aktiviti ini boleh dianggap serius. Bagaimana barangan tanpa pensijilan Sirim boleh dijual secara dalam talian? MCMC perlu pantau," katanya.

Beliau juga mencadangkan satu badan khas ditubuhkan supaya pemantauan ke atas pihak terlibat dalam aktiviti penjualan peralatan seperti itu dapat dilakukan bermula aktiviti penjualan hingga proses penghantaran barangan tanpa kelulusan Sirimkepada pengguna termasuk barangan dibawa dari negara luar.

Sementara itu, CAP menasihati orang ramai tidak terpengaruh membeli peralatan elektrik termasuk alat jimat elektrik yang tidak mempunyai pensijilan barangan (cop) Sirim.

Tegasnya, pengguna harus tahu mengenai kualiti sesuatu barangan kerana biasanya produk disahkan Sirim, ia dapat melindungi hak pengguna terbabit.