X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Bagaimana nak vaksinkan 4.6 juta PATI?

A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dijangka berdepan cabaran terbesar dalam mengagihkan bekalan vaksin Covid-19 percuma kepada kumpulan warga asing tanpa dokumen atau lebih dikenali pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bekas Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, hal ini kerana jumlah terkini golongan PATI di negara ini dipercayai sudah menjangkau 4.6 juta orang, mengambil kira anggaran mereka dua kali ganda daripada jumlah pekerja asing 2.3 juta orang ketika ini.

Menurutnya, kelompok itu sukar dikesan dan sudah pasti enggan menyerahkan diri kepada kerajaan semata-mata untuk mendapatkan bekalan vaksin percuma.

Alasannya mudah, mereka bimbang dihantar pulang semula ke negara masing-masing.

"Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik menghantar pulang atau memberi peluang kepada kelompok PATI menjadi pekerja sah sebagai salah satu langkah penyelesaian.

"Agak mustahil bagi kerajaan mengharapkan kelompok ini tampil secara sukarela.

"Sebaliknya satu pendekatan holistik perlu diwujudkan bagi memastikan agenda pengagihan vaksin kepada kelompok paling berisiko dijangkiti Covid-19 ini tercapai," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin yang menegaskan Kabinet secara prinsipal bersetuju menyediakan vaksin percuma kepada warga asing di negara ini yang tidak mempunyai dokumen sah.

Menurut beliau, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAVMY) akan berbincang dengan lebih lanjut bagaimana inisiatif itu dapat dilaksanakan.

Perkara itu dimaklumkan Khairy berikutan kenyataan terdahulu JKJAVMY memaklumkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan melibatkan pemberian secara percuma kepada semua golongan bukan warganegara Malaysia yang menetap di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan setuju beri vaksin Covid-19 percuma kepada warga asing

26.5 juta individu terima vaksin Covid-19 secara percuma

Kulasegaran yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat berkata, selain inisiatif pemutihan PATI, beliau turut menggesa kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, MOSTI, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri duduk semeja untuk berbincang secara lebih tuntas bersama semua pemegang taruh berkaitan PATI.

Menurutnya, kerajaan tidak wajar membuat keputusan secara autokratik dengan mengenepikan pandangan pemegang taruh yang berada di peringkat akar umbi seperti persatuan pekerja, badan bukan kerajaan (NGO), kedutaan negara luar serta ahli-ahli Parlimen pembangkang sendiri.

"Pada peringkat awal, pemberian vaksin mungkin perlu diwajibkan kepada kumpulan PATI yang ditahan di depoh tahanan seluruh negara atau penjara.

"Selain itu, usaha menutup jalan-jalan tikus di kawasan sempadan negara perlu diperhebat bagi mengelakkan kemasukan Pati berterusan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!