'Kuarantin 3 hari, jangan ikut telunjuk politik'

Dzulkefly
Dzulkefly
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan tempoh pengecualian kuarantin tiga hari diwartakan kerajaan kepada para menteri atas urusan rasmi di luar negara adalah tindakan paling tidak wajar.

Menurutnya, jangkitan wabak Covid-19, melalui kajian pakar kesihatan mendapati bahawa individu yang telah terdedah kepada virus itu mempunyai purata antara lima hingga enam hari untuk bergejala dan dalam sesetengah kes mungkin hingga 10 hari.

"Maka prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mereka yang pulang dari luar negara atau dalam kes kontak rapat telah dikurangkan mengikut syor WHO daripada 14 hari ke 10 hari.

"Persoalannya di sini dari mana datang kuarantin untuk hanya tiga hari ini? Di mana sainsnya? Perkara ini mesti ditentukan oleh 'sains penyakit berjangkit' dan bukan 'sains politik'," tegasnya kepada Sinar Harian.

Keadaan itu katanya menunjukkan seolah-olah KKM mengikut telunjuk politik dan bukan hujah sains yang berasaskan bukti.

"Ini bererti kita bersedia mendedahkan rakyat kita kepada bahaya perebakan virus dan bukan sebaliknya untuk memutuskan rantai transmisi.

"Hal ini juga mengundang ketakutan ramai, apatah lagi mereka yang pulang dari luar negara juga terdedah kepada infeksi virus mutan B117 dari United Kingdom (UK) dan B1351 dari Afrika Selatan yang lebih cepat merebak atau mempunyai keupayaan infektiviti yang lebih pantas dan ganas," katanya lagi.

Sementara itu Dzulkefly berkata, meskipun angka positif beberapa hari ini menunjukkan trend yang menurun, beliau mengingatkan semua pihak bahawa tidak mudah untuk merasa selesa atau cepat 'meletakkan senjata'

Artikel Berkaitan:

"Walaupun KKM telah mengurangkan jumlah ujian, KKM telah menyatakan pihaknya akan melonjakkan ujian ke paras 200,000 ujian.

"STFC (Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor) sendiri telah berhenti membuat 'saringan komuniti bersasar', buat beberapa ketika dan baru kembali memulakan saringan ini minggu lalu.

"Semakin kurang ujian, maka semakin kuranglah jumlah yang positif," tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 hari tempoh kuarantin menteri balik lawatan rasmi luar negara

'Menteri kuarantin 3 hari, rakyat kuarantin 10 hari'