Lelaki didenda RM2,500, cederakan jiran dengan sebatang besi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat mencederakan seorang jurujual yang merupakan jirannya dengan sebatang besi, seorang lelaki didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Noorasyikin Sahat menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Chee Hoe, 32, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh yang tidak bekerja itu menjalani hukuman penjara empat bulan, sekiranya dia gagal membayar denda.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ng Kah Mun, 40, dengan menggunakan sebatang besi sebagai senjata yang boleh mendatangkan kematian di hadapan sebuah rumah di Jalan Nahkoda Yusof, Wangsa Maju di sini pada 1 petang, semalam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala Lee yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf. - Bernama

Artikel Berkaitan: