PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak di Perak, 3 kampung di Terengganu

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Batu Gajah, Perak dan Besut, Terengganu selama 14 hari bermula Ahad (14 Februari) ini, berikutan peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawasan yang terlibat ialah Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) dan Kuarters Kakitangan di Batu Gajah, Perak dan Kg Darau-Awek, Kg Padang Baloh dan Kg Lepan Kejor, Mukim Pasir Akar, di Besut, Terengganu.

“Sehingga kini, di kawasan terlibat di Batu Gajah, Perak, KKM telah melaksanakan 81 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 29 kes positif Covid-19 direkodkan serta 45 baki saringan sedang menunggu keputusan.

“Di Besut, Terengganu pula, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 570 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 21 kes positif Covid-19 telah direkodkan meliputi ketiga-tiga lokaliti ini,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jumaat

Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD itu diambil setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ekoran situasi Covid-19 di kawasan itu.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan PKPD di Penjara Simpang Renggam dan Kuarters Kakitangan di Simpang Renggam, Kluang, Johor akan ditamatkan pada 14 Februari ini, seperti yang dijadualkan.

Mengenai jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP, beliau menyatakan seramai 680 individu ditahan semalam, dengan 610 daripadanya dikompaun, 59 individu direman manakala 11 lagi dijamin.

“Antara kesalahan yang paling banyak dikesan ialah tiada penjarakan fizikal (146), rentas daerah serta negeri tanpa kebenaran (117), aktiviti pusat hiburan (106) dan tidak memakai pelitup muka (86),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau berkata, seramai 21 pendatang tanpa izin ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara, manakala sebanyak 10 kenderaan darat disita.

Ismail Sabri memaklumkan seramai 9,138 warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam (Khamis), dengan 120 daripadanya didapati positif Covid-19.

Menurutnya, secara kumulatif, setakat ini Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 362,067 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dengan 7,016 daripadanya disahkan positif Covid-19. - Bernama