Maszlee pelawa pemimpin Umno, Pas berpidato di universiti

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mempelawa tokoh politik dari kerajaan PH dan pembangkang untuk berpidato di universiti-universiti awam seluruh negara.

Menurut beliau, pendekatan ini membuktikan Malaysia baharu menjadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka.

Beliau mengulas mengenai beberapa program termasuk program pejuang demokrasi Hishammuddin Rais yang dibatalkan UKM minggu lalu dan mahukan parti pembangkang seperti Umno dan Pas menggunakan kesempatan itu.

“Terima kasih kepada pelajar UIA dan UKM yang adakan wacana ilmiah, mengundang Hishamuddin Rais walaupun asalnya terdapat salah faham. Saya tegaskan Malaysia baharu ini jadikan universiti sebagai medan intelektual terbuka.

“Semalam Prof Azmi Sharom datang UKM, dua hari lepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang buat pertama kali pembangkang dibenarkan berpidato di universiti awam tanpa sekatan.

“Lepas ini diharapkan Pas dan Umno turut hadir ke universiti-universiti awam, kita buka ruang,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, pemimpin Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz menyambut baik keterbukaan Maszlee yang membenarkan presiden partinya menjadi tetamu di universiti awam dan menganggap ia kejayaan manifesto PH.

“Walaupun keterbukaan ini bukanlah buat julung kalinya kepada pemimpin utama Pas yang telah pun berkali-kali berpentas di universiti-universiti awam sebelum ini, terutama di Universiti Malaya (UM), tetapi suasana kebebasan itu dilihat semakin muram dengan sekatan demi sekatan melalui akta dan arahan daripada pihak universiti yang dicengkam kuasa politik pemerintah BN akibat terlalu bimbangkan kemaraan parti-parti pembangkang di dalam menguasai minda anak muda.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah di antara kejayaan melaksanakan manifesto PRU14 oleh kerajaan PH untuk rakyat. Kita nikmatinya bersama,” ujarnya.