Kedah beri penekanan isu rasuah dalam khutbah Jumaah

Kedah turut merancang untuk melaksanakan aktiviti seperti kuliah agama secara bersiri yang menyentuh isu rasuah bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai.
Kedah turut merancang untuk melaksanakan aktiviti seperti kuliah agama secara bersiri yang menyentuh isu rasuah bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada orang ramai.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) mengorak langkah dengan mengambil inisiatif memerangi rasuah menerusi khutbah Jumaat bertajuk 'Rasuah Pemusnah Maruah dan Negara' pada Jumaat.

Pengarahnya, Mohd Yusri Md Daud berkata, teks khutbah yang dibacakan kepada jemaah masjid di seluruh Kedah itu disediakan oleh Bahagian Dakwah JHEAIK.

Beliau berkata, antara perkara diberi penekanan dalam khutbah itu ialah agama Islam menganjurkan kepada umatnya untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan kerana ia merupakan tugas setiap individu.

"Maka, amalan yang makruf hendaklah dilakukan dengan penuh ketaatan dan keikhlasan, manakala perkara mungkar pula haruslah dijauhi sedaya upaya dalam kehidupan ini.

"Antara perbuatan mungkar ialah mengambil sesuatu yang bukan hak dan daripada hasil yang diharamkan oleh syarak seperti hasil riba, rampasan, curi, rasuah, penipuan dan sebagainya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, khutbah jumaat berkenaan memberi kesedaran bahawa gejala rasuah merupakan satu jenayah membimbangkan semua pihak, apatah lagi ia telah menular dan menjadi barah dalam kehidupan masyarakat.

Katanya, antara isi lain khutbah itu ialah wujudnya kegelisahan terhadap jenayah rasuah yang boleh menghakis sistem keadilan, nilai-nilai murni dan menggugat pemerintahan secara demokratik.

"Maka akan lahir anggota masyarakat yang berperibadi buruk sehingga sanggup menggadai maruah agama dan diri sendiri demi mengejar wang ringgit, pekerjaan, jawatan, pangkat, hadiah dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam khutbah berkenaan, jemaah turut diingatkan bahawa antara punca berlakunya jenayah rasuah ialah wujudnya peluang dan ruang yang membolehkan seseorang terlibat dengan rasuah, gagal mengawal nafsu dan keinginan melebihi kemampuan.

"Maka, renungi kisah hidup Rasulullah SAW yang sentiasa mementingkan keberkatan dalam kehidupan dan bukannya kemewahan," katanya.

Sehubungan itu, katanya, masyarakat diajak bersama-sama meningkatkan integriti dan menunaikan amanah dengan menjadi golongan menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Beliau berkata, antara kandungan dalam khutbah tersebut juga ialah mengajak orang awam untuk memberi sokongan terhadap agensi yang dipertanggungjawab untuk mengendalikan kes jenayah rasuah di negara ini.

Menurutnya, kesedaran, sokongan dan peranan semua pihak amat diperlukan bagi menyokong segala aktiviti dan usaha mencapai matlamat tersebut.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kedah merancang untuk melaksanakan aktiviti seperti kuliah agama secara bersiri yang menyentuh isu rasuah bagi memberi penerangan dan kesedaran kepada orang awam di negeri itu.