Polis Johor tembak mati empat penjenayah

Ayob Khan menunjukkan sepucuk revolver dan beberapa peralatan lain yang dirampas selepas menumpaskan empat penjenayah di Jalan Parit Sulong-Pagoh, Batu Pahat, pada Jumaat.
Ayob Khan menunjukkan sepucuk revolver dan beberapa peralatan lain yang dirampas selepas menumpaskan empat penjenayah di Jalan Parit Sulong-Pagoh, Batu Pahat, pada Jumaat.
A
A
A

BATU PAHAT - Polis menembak mati empat penjenayah yang terlibat kes pecah kilang dan pejabat sekitar Johor di Jalan Parit Sulong-Pagoh di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, keempat-empat suspek berusia antara 23 dan 40 tahun dipercayai warganegara asing itu maut di tempat kejadian sekitar jam 3.12 pagi.

"Kejadian bermula apabila anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Johor Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melihat sebuah kereta Toyota Avanza dan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila pihak polis cuba rapat untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba penumpang Toyota Alza bertindak agresif mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis," katanya dalam sidang akhbar di IPD Batu Pahat di sini pada Jumaat.

Katanya, penumpang Toyota Avanza dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi cuba melarikan diri, apabila polis cuba menahan mereka dan berlaku pergelutan.

Tambah Ayob, seorang suspek bertindak menyerang dengan menikam seorang pegawai polis menggunakan parang dan pisau kerambit.

"Seorang pegawai polis cedera pada tangan dan jaket perisai dipakainya juga koyak terkena tikaman kerambit. Bagi mempertahankan diri polis melepaskan tembakan terhadap semua penjenayah," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati semua penjenayah tidak memiliki pengenalan diri, pemeriksaan di tempat kejadian dan dalam bonet kereta menemukan sepucuk revolver hitam berisi enam kelongsong peluru; empat peluru jenis 38 SPL; dua bilang parang dan satu pisau kerambit.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut menemukan beberapa peralatan pecah rumah dan beg pakaian. Kereta Perodua Myvi tersebut disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu dan didapati hilang di Desa Cemerlang, Seri Alam. Pihaknya percaya semua penjenayah tersebut terlibat dalam kes samun terutama kejadian pecah kilang dan pejabat sekitar Johor.

"Kita yakin kumpulan ini bukan sahaja bergerak aktif di Johor tetapi juga di negeri lain. Mungkin kita kenal dapat kenal pasti identiti suspek menerusi cap jari mereka sama ada sama dengan kesan cap jari di kilang-kilang yang disamun," kata beliau lagi.

Ayob berkata, bedah siasat suspek akan dilakukan di hospital Kluang dan pihak polis akan menjalankan siasatan sama ada mempunyai kaitan dengan kumpulan lain atau mempunyai saki baki ahli yang masih bebas.

Menurutnya, siasatan termasuk sama ada suspek terlibat dengan 13 kes pecah kilang pada 2019 melibatkan kerugian RM230,000 dan 17 kes sama melibatkan kerugian RM120,000 pada 2020 di daerah ini.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta menghalang tugas penjawat awam.