PGA patah penyeludupan babitkan rampasan RM6.1 juta

Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras dan diesel membabitkan nilai RM6.1 juta dalam serbuan berasingan di tiga daerah sejak Isnin hingga Rabu lalu.
Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras dan diesel membabitkan nilai RM6.1 juta dalam serbuan berasingan di tiga daerah sejak Isnin hingga Rabu lalu.
A
A
A

PAPAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan membabitkan rokok, minuman keras dan diesel membabitkan nilai RM6.1 juta dalam serbuan berasingan di tiga daerah sejak Isnin hingga Rabu lalu.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua rampasan itu membabitkan serbuan di Tawau, Lahad Datu dan Penampang.

"Kes pertama berjaya dihasilkan membabitkan rampasan diesel menerusi serbuan di sebuah stor di Jalan Dr Yamamoto, Tawau pada jam 4 petang dan hasil pemeriksaan terdapat dua lori tangki minyak berisi 16,900 liter diesel, motosikal serta pacuan empat roda bernilai RM 274,679.

"Seramai tujuh lelaki berusia antara 17 dan 53 tahun turut ditahan dan dipercayai stor itu dijadikan tempat menjalankan aktiviti menjual diesel bersubsidi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Abduh berkata lagi, serbuan seterusnya juga berlaku di Tawau iaitu membabitkan rampasan rokok yang disembunyikan dalam lori tangki di Jalan Batu 21, Sungai Balung, Jalan Apas.

"Serbuan dilakukan pada jam 7.20 pagi Rabu lalu selepas Pasukan Risikan Batalion 14 PGA menerima maklumat awam dan telah menahan sebuah lori tangki di lokasi terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati sejumlah rokok disembunyikan di dalam tangki lori terbabit dengan jumlah rampasan bernilai RM1,137,860 dan seorang lelaki berusia 39 tahun turut ditahan dalam serbuan itu," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Abduh berkata, rampasan ketiga dan keempat juga berlaku pada Rabu lalu iaitu membabitkan rampasan rokok dan minuman keras masing-masing di Lahad Datu dan Penampang.

Artikel Berkaitan:

"Kira-kira jam 12.30 tengah hari, Pasukan Risikan Batalion 17 PGA telah membuat serbuan di sebuah stor di Jalan Segama, Lahad Datu, dan hasil pemeriksaan menemui 29,321 karton pelbagai jenis rokok dan 66 bekas tembakau tanpa cukai bernilai RM4,111,132 serta seorang lelaki berusia 33 tahun mengaku sebagai pekerja stor berkenaan turut ditahan.

"Rampasan seterusnya dibuat di empat premis perniagaan dan serbuan rumah di kawasan Commercial Centre Penampang pada jam 9.25 malam dan telah berjaya menemui pelbagai jenis minuman keras bernilai RM264,385 disyaki tanpa cukai bersama tiga lelaki berusia antara 20 dan 49 tahun," katanya.

Menurutnya, semua barang yang ditemui dalam empat siri serbuan itu dirampas dan tindakan siasatan dibuat mengikut kes masing-masing iaitu Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan bagi rampasan diesel pula, kes diserahkan kepada Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau untuk tindakan lanjut.