X

Kindly register in order to view this article
!

Upah lori pasir seludup minyak masak bersubsidi

Kotak-kotak minyak masak bersama lori tiga tan yang disita untuk tindakan selanjutnya. -Foto: KPDNHEP Kelantan
A
A

TUMPAT - Taktik mengupah pemandu lori pasir untuk menyeludup minyak masak bersubsidi tidak berhasil apabila modus operasi berkenaan dihidu pihak berkuasa dan berjaya merampas 1,360 kilogram minyak masak pada Khamis di sini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, taktik itu dikesan sepasukan pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Kota Bharu yang menjalankan Operasi Bersepadu bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 8 di sekitar Tumpat.

Menurutnya, hasil daripada maklumat awam dan risikan oleh Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP selama lebih kurang satu minggu, pasukan operasinya bermula jam 3 petang pada Khamis telah membuat serbuan di sebuah premis di Pengkalan Kubor, Tumpat.

"Pemeriksaan yang dilakukan menjumpai sebuah lori pasir yang diletakkan berhampiran premis dan mendapati sejumlah besar kotak disyaki mengandungi minyak masak paket polybag satu kilogram (kg).

"Modus operandi penyeludupan kali ini iaitu penyeludup barang kawalan bersubsidi membayar upah kepada pemandu lori pasir bagi mengaburi pihak berkuasa untuk mengangkut dan memunggah daripada pembekal atau pemborong tempatan seterusnya membawa ke pengkalan haram," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Azanizam Affendi berkata, semasa serbuan dijalankan terdapat seorang lelaki yang disyaki pemandu lori cuba melarikan diri namun dengan ketangkasan pasukan operasi berjaya menahan lelaki tersebut.

"Lelaki yang ditahan merupakan warganegara Malaysia berumur 40an dan telah mengaku sebagai pemilik lori," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal lelaki tersebut dipercayai mengambil upah sekitar RM100 bagi setiap penghantaran.

"Bekalan minyak masak akan diambil daripada pemborong di Pasir Mas dan membuat penghantaran minyak masak ke lokasi yang ditetapkan oleh seorang individu melalui telefon. Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen atau lesen dikeluarkan oleh Pengawal Bekalan yang disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Minyak masak paket 1kg jenama tempatan dengan anggaran sebanyak 1, 360 kilogram bersama sebuah lori muatan tiga tan disita dan pemandu ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk siasatan lanjut," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!