Pas Selangor beri kerjasama penuh jayakan agenda PN

Ahmad Yunus
Ahmad Yunus
A
A
A

SHAH ALAM -Pas Selangor sedia memberikan penglibatan dan kerjasama penuh bagi menjayakan agenda Perikatan Nasional (PN) di negeri ini serta mengekalkan kerajaan PN dengan semangat perpaduan ummah.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kenyataan Pengerusi PN Negeri Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembentukan Badan Perhubungan PN Selangor turut menandakan kesediaan Pas di negeri ini memberikan komitmen penuh dalam gerak kerja mempertahankan PN sebagaimana diarahkan Pas Pusat.

Menurutnya, adalah menjadi harapan pihaknya, PN Selangor dijayakan dengan meraikan semangat musyawarah, hormat-menghormati dan tolak-ansur antara parti yang mendukungnya setiap waktu serta ketika.

Katanya, ia demi menjamin hubungan kerjasama politik yang mantap dan berkesan khasnya dalam usaha menawan Selangor yang kini dikuasai Pakatan Harapan (PH).

"Pas Selangor mengharapkan agar semua keputusan berkaitan lantikan parti di peringkat negeri dan kemudiannya nanti di peringkat Parlimen dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat dengan persetujuan bersama bagi mencerminkan permuafakatan yang padu.

"Setiap jawatan di peringkat negeri selain Pengerusi dan Naib Pengerusi PN Negeri sewajarnya diputuskan dalam Mesyuarat PN Selangor dengan mengambil kira kekuatan dan kemampuan serta pengaruh parti masing-masing di bawah PN negeri bagi membentuk sebuah pasukan yang benar-benar berkemampuan dan mempunyai keupayaan mempengaruhi akar-umbi khasnya rakyat Negeri Selangor," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, PN Selangor mengumumkan pembentukan struktur organisasi gabungan itu yang lebih strategik bagi menjana kekuatan baru dalam memperkukuhkan keyakinan rakyat.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pada 5 Februari lalu, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi bagi membincangkan mengenai pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pertemuan itu turut berlangsung dengan penuh musyawarah bagi memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi tersebut.