Ketua kampung sokong MB Johor


Noor Saiful (kanan) bersama sebahagian ketua kampung menyatakan sokongan kepada Osman.
Noor Saiful (kanan) bersama sebahagian ketua kampung menyatakan sokongan kepada Osman.
A
A
A

PONTIAN - Ketua kampung di kawasan Dun Benut berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh terhadap Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berhubung isu pendidikan beliau.

Wakil ketua kampung berkenaan, Noor Saiful Amri Suloh berkata, pihaknya yakin Osman berada di pihak yang benar selain ruang dan peluang perlu diberikan kepada pemimpin nombor satu di Johor itu.

"Perlu beri ruang kepada beliau bagi merungkai segala persoalan yang datang bertubi-tubi dalam tempoh masa cukup singkat sejak beberapa hari lalu," katanya.

Menurutnya, dia bersama ketua kampung yang lain sentiasa mendoakan Osman diberikan kekuatan berdepan dengan pelbagai dakwaan sewaktu menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebagai menteri besar.

“Taraf pendidikan dianggap bukan garis ukur kepada pencapaian yang dibawa Osman sepanjang menenerajui kepimpinan di Johor selepas diberikan kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai menteri besar selepas PH memenangi PRU14 lalu.

“Jika taraf pendidikan jadi persoalan sudah pasti beliau (Osman) tidak dipilih parti komponen PH jadi menteri besar ketika itu,” katanya.

Noor Saiful berkata, sikap kepimpinan Osman yang disenangi rakyat lebih penting dalam membawa Johor ke arah negeri yang lebih membangun.

“Selama ini sokongan diberikan bukan sebab taraf pendidikan beliau, sebaliknya atas sikap kepimpinannya sejak menjadi Menteri Besar Johor sehingga ke hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai anak Pontian saya amat berbangga apabila beliau dapat pendidikan awal di daerah ini termasuk pernah menjadi pelajar di sekolah yang terkenal di Pontian,” katanya.

Menurutnya, pujian perlu diberikan atas keberanian Osman yang mahu tampil menerangkan perkara sebenar pada sidang media yang akan diadakan pada tarikh yang belum ditentukan.

“Sejak beberapa hari isu pendidikan Osman jadi tular di media sosial. Ada yang mencemuh dan memberi pelbagai kata yang kurang enak bukan saja kepada Osman tetapi juga pemimpin PH.

“Dalam keadaan tegang pada masa sekarang, Osman mahu membuat sidang media. Ini menunjukkan beliau pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Asam Kumbang Kawasan (4) Mukim Sungai Pinggan, Ambok Ghani menegaskan pelbagai langkah diambil bagi menjaga kebajikan rakyat sepanjang menjadi menteri besar.

“Bagi saya, apa yang penting pada masa sekarang adalah pencapaian yang dibawa sepanjang jadi Menteri Besar.

“Kita sebagai rakyat Johor dapat tengok apa yang dilakukan. Banyak langkah dilakukan untuk memajukan negeri ini,” katanya.

Ketua Kampung Kawasan 1 Mukim Benut, Asmadi Bachok berkata, dia menyokong penuh kepimpinan Osman meskipun terpalit dengan isu pendidikan yang kini hangat diperkatakan.

Menurutnya, sokongan rakyat pada masa kini amat penting buat Osman dalam menerajui kepimpinan negeri.